'Honor Walk', penghormatan terakhir buat Allahyarham Nabil Izz Qaisar

'Honor Walk', penghormatan terakhir buat Allahyarham Nabil Izz Qaisar

Kuala Lumpur: Hospital Selayang mengadakan Honor Walk sebagai tanda penghormatan terakhir kepada pelajar Politeknik Sultan Idris Shah (PSIS), Allahyarham Nabil Izz Qaisar Mohd Zairee, yang terus memberi sinar harapan kepada insan lain menerusi pendermaan organ, semalam.

Menerusi hantaran di Facebook, Hospital Selayang memaklumkan dalam suasana penuh hening pada 3 pagi, ahli keluarga serta warga hospital mengiringi perjalanan terakhir Allahyarham sebagai simbol penghargaan terhadap pengorbanan amat bermakna itu.

Menurut hantaran berkenaan, setiap pendermaan organ merupakan satu hadiah kehidupan (Gift of Life) yang mampu memberi peluang kedua kepada pesakit yang sedang menunggu pemindahan organ.

“Hospital Selayang merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Allahyarham dan seluruh ahli keluarga atas keikhlasan serta pengorbanan yang tidak ternilai.

“Semoga segala jasa ini menjadi amal yang berpanjangan serta memberi inspirasi kepada masyarakat untuk memahami kepentingan pendermaan organ,” menurut hantaran itu.

Sementara itu, Pakar Perunding Anestesia dan Rawatan Kritikal Hospital Selayang Dr Haslinda Abd Hashim ketika dihubungi Bernama mengesahkan proses pendermaan organ Allahyarham serta pemindahannya kepada enam penerima telah dilaksanakan pada awal pagi semalam.

Beliau berkata organ yang didermakan ialah paru-paru, jantung, hati, dua buah pinggang serta dua kornea.

Bekas guru kelas Allahyarham di Sekolah Menengah Sains Teluk Intan (SeMeSTi), Hizandie Shuaib pula berkata beliau mengenali pelajar itu selama lima tahun menerusi sesi pembelajaran di dalam kelas selain aktiviti bola sepak.

Menerusi hantaran di Facebook, Hizandie turut berkongsi detik berada di Hospital Selayang ketika menziarahi Allahyarham, selain menyaksikan Honor Walk yang diadakan sebagai penghormatan terakhir kepada pelajar berkenaan.

Allahyarham Nabil Izz Qaisar, 19, pelajar Diploma Kewangan Islam, Jabatan Perdagangan PSIS, disahkan meninggal dunia pada 3.50 petang Isnin, sehari selepas menyambut ulang tahun kelahirannya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top