fatin.farhana@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Terasa ‘lorong’ kekosongan di hati penyanyi dan komposer, Aina Abdul biarpun berjaya mengungguli gelaran naib juara menerusi lagu Semalam dalam Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-35, Ahad lalu.
Ini berikutan, kata Aina, dia tidak dapat melihat wajah-wajah yang menjadi tulang belakang untuknya melangkah ke pentas berprestij yang memberi penghormatan kepada komposer dan penulis lirik itu.
“Jujurnya, saya terkilan. Dalam fikiran seperti ada satu kekosongan. Saya tidak dapat melihat wajah yang menjadi faktor penyumbang kejayaan saya, iaitu peminat.
“Saya berada atas pentas AJL35 berbekalkan doa mereka. Jadi, saya sangat berharap pandemik reda dan boleh berjumpa mereka. Selagi tidak berjumpa peminat, saya tak rasa kemenangan ini milik saya,” katanya kepada BH Online.
Akuinya, kemenangan menerusi lagu Semalam sedikit sebanyak mengubati kekecewaan yang dilalui pada AJL34, ketika mempertaruhkan lagu Sumpah.
“Saya bersyukur diberi peluang kedua berada atas pentas AJL, biarpun mencetuskan kontroversi, tahun lalu. Masih ada ruang buat saya melangkah ke AJL35. Tiada lain, hanya perkataan syukur biarpun mendapat tempat kedua,” katanya.
Mengulas kekalahannya di tangan Ernie Zakri menerusi kategori Vokal Terbaik, penyanyi berusia 28 tahun itu berkata, dia tidak kecewa, malah melihat kehebatan penyanyi lagu Gundah itu.
“AJL adalah pentas anak seni membuat persembahan terbaik. Kami meraikan semua pemenang, ini semua hasil dengan kerja keras setiap finalis dan mereka di balik tabir. Menang atau kalah, bukanlah dalam kamus hidup saya.
“Saya hormat Ernie, dia adalah rakan baik saya dalam industri muzik. Melihatnya memperoleh pengiktirafan ini, saya turut berbangga. Ernie sememangnya layak kerana dia bekerja keras,” katanya.
Tidak kurang penyanyi, Wany Hasrita yang berjaya memenangi tempat ketiga menerusi lagu duetnya bersama Datuk Jamal Abdillah, Belenggu Rindu. Dia merasakan kemenangannya sedikit sebanyak menebus kekecewaannya pada AJL32.
Kata Wany, 28, dia banyak belajar dari pengalaman dan kekurangan yang dilakukan pada AJL32, ketika mempertaruhkan lagu Menahan Rindu.
“Saya mungkin tidak bersedia, namun kali ini, saya sudah tahu apa yang perlu dilakukan, disediakan dan dirancang.
“Saya melakukan perancangan lebih teratur dan mempertingkatkan mutu persembahan dari segi vokal. Lebih lagi, berduet pula dengan penyanyi legenda.
“Usaha ini kena datang dari saya. Alhamdulillah, persembahan saya dan Jamal nampak seiring atas pentas,” katanya.
Ekoran kemenangannya, Wany berkata, ia adalah kenangan terindah selepas menempuh pelbagai cabaran selama dua tahun.
“Dua tahun saya belajar untuk melakukan yang terbaik. Syukur, rezeki berpihak pada saya dan Jamal,” katanya.
Pemenang Persembahan Terbaik AJL35, Zizi Kirana, 36, bersyukur atas kemenangan pertama menerusi pentas berprestij itu selepas selepas 11 tahun bergelar anak seni.
“Saya tak sangka rezeki lagu Eh sampai ke peringkat akhir dan berjaya membawa pulang trofi Persembahan Terbaik.
“Terima kasih kepada pasukan, keluarga di Sabah, pengurus, pembantu peribadi, pereka fesyen hinggalah peminat yang berdiri di belakang saya. Paling utama adalah Altimet dan Navigator, rakan yang menghasilkan lagu Eh.
“Dari awal, niat saya hanya mahu membuat persembahan dengan konsep apa yang saya mahukan dan berseronok atas pentas. Niat menang sememangnya tiada.
“Sampai ke peringkat akhir pun sudah buat saya bersyukur. Saya sudah lama menanti peluangnya berada di pentas AJL,” katanya.
Berkongsi konsep persembahan, Zizi berkata, penampilannya diinspirasikan dari kisah legenda Indonesia, Kanjeng Ratu Kidul.
“Dari awal, saya dan pasukan mahukan persembahan berkonsepkan hip hop nusantara mengetengahkan watak Kanjeng Ratu Kidul. Saya mahu menjadi sepertinya, memandangkan keluarga saya berdarah campuran Indonesia.
“Jika diikutkan, saya mahu tampil bersama kumpulan Darmas untuk memainkan alatan muzik tradisional secara langsung, namun harus mematuhi prosedur operasi standard (SOP).
“Saya tetap gembira dapat melengkapkan persembahan dengan menyelitkan elemen muzik tradisional seperti rebana, seruling, gendang, darbuka dan gamelan yang dimainkan Darmas bersama susunan muzik Aubrey Suwito,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd