Usaha dilakukan hingga peringkat akhir – Takiyuddin – Utusan Digital

KOTA BHARU: Persoalan sama ada Pas terus bermain ‘dua kolam’ bersama Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN) atau memilih salah satu daripadanya, kekal tinggal tanda tanya.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan ketika ditanya perkara itu sekadar mengulangi skrip lama, Pas sentiasa mengkaji segala kemungkinan namun agenda penyatuan ummah kekal sebagai perkara pokok.

“Saya nak cerita, baru-baru ini pun kita (Pas) sudah mengusahakan supaya dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tidak berlaku perpecahan, tetapi bila tidak ada pilihan, itulah yang berlaku.

“Usaha telah dilakukan hingga peringkat terakhir untuk pastikan tidak berlaku sesuatu yang tidak baik (dalam PRN Melaka), tetapi tidak apalah. Kita terima keputusan dibuat rakyat Melaka,” katanya kepada pemberita hari ini.

Terdahulu, Takiyuddin yang juga Menteri Tenaga dan Sumber Asli serta Ahli Parlimen Kota Bharu menyampaikan sumbangan kepada mangsa kebakaran beberapa buah rumah di Jalan Sultanah Zainab, di sini baru-baru ini.

Ditanya kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam PRN Melaka yang seolah-olah mencabar PN dan MN, Takiyuddin berkata, kejayaan solo parti tersebut hanya dalam konteks negeri itu.

“Semua pihak jangan lupa kerajaan Persekutuan yang diterajui BN juga dianggotai oleh gabungan pelbagai parti iaitu Pas, Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) dan GPS (Gabungan Parti Sarawak). 

“Kerajaan (Persekutuan) ini tidaklah stabil. Sikit mau ingatlah, jadi kita sama-sama jaga, sama-sama membantu kerajaan Melaka yang baharu ini,” ujarnya.

Mengulas desakan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan supaya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) diadakan secepat mungkin, Takiyuddin berkata, perkara itu ditentukan Kabinet, bukan parti tertentu.

“Dalam Kabinet terdiri daripada pelbagai parti. Oleh itu, biarlah Perdana Menteri yang menentukan tarikh PRU-15,” katanya. – UTUSAN ONLINE