norhayati_nordin@hmetro.com.my
SIRI 2
Pilihan nama Azmeer ternyata tepat untuk mengatur langkah sebagai komposer dikenali ramai dalam ‘menjual’ lagu dicipta buat penyanyi-penyanyi lain yang ingin bekerjasama.
Justeru, salah seorangnya adalah pelakon dan penyanyi senior, Allahyarham Jalil Hamid yang pernah popular pada 1993 dengan lagu ciptaan Dr Azmeer seperti Ayam, Makan dan Raya.
Mengenang kerjasama dengan arwah Jalil, pemilik nama sebenar Mohd Azhar Abu Bakar ini berkata, dia bersyukur dan gembira apabila pelawaannya diterima baik sekali gus mereka saling berbincang.
“Apa pun, sebenarnya masa saya cipta lagu Ayam itu belum ada lirik. Namun, idea kerjasama kami muncul selepas saya tengok Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) dan Jalil dapat lebih 500,000 undian pembaca.
“Masa itu, orang kan mengundi dalam borang yang dipotong daripada surat khabar. Jadi, saya fikir kalau sebanyak itu jumlah undian Jalil dan jika 10 peratus yang beli CD (cakera padat), sudah boleh dapat RM50,000.
“Jadi, saya pun cakap dengan arwah Jalil untuk kita kerjasama rakam lagu. Ketika itu, Allahyarham beritahu saya yang dia tidak pandai nyanyi, tetapi saya terus usaha pujuk dia sampai setuju.
“Saya kata kepada Jalil, tidak apa nanti saya ajar abang dan bagi dia dengar melodi lagu Ayam. Esoknya bila kami jumpa lagi, dia (Jalil) cakap ada dengar ayam berkokok selepas sahur bulan Ramadan waktu itu,” katanya.
Menurut Azmeer, lirik lagu Ayam diserahkan kepada Jalil sepenuhnya untuk dia cuba menulis berdasarkan apa yang diketahuinya dan fahami mengenai ayam kerana yakin arwah mampu buat.
“Saya ingat lagi, arwah tulis panjang berjela mengenai ayam dan saya hanya susun semula sahaja. Malah, lirik lagu Ayam itu memang saya letak nama Jalil kerana sudah berniat.
“Memang saya nak bantu dia sebab bakat seninya. Selain itu, saya tahu cahaya mata sulung Jalil juga seorang anak istimewa. Maka, saya tak nak royalti lirik dan cukup melodi lagu sahaja.
“Sebab, idea lirik lagu Ayam sepenuhnya daripada Jalil. Malah, kalau apa yang kami buat itu berjaya, saya rasa sangat lega. Alhamdulillah, lagu Ayam dalam album Jalil Hamid pada 1993 yang ada juga lagu Makan dan lagu Raya itu meletup.
“Sebanyak 180,000 unit CD album dijual sekali gus kami dapat untung. Waktu itu, setiap satu unit CD terjual akan dapat untuk RM2. Jadi, selepas ditolak semua kos, saya dapat serahkan RM90,000 kepada Jalil,” katanya.
Katanya, ia adalah jumlah keuntungan penjualan album yang patut diterima oleh Jalil sebagai pendapatan menyara keluarganya dan memang dia sangat gembira sebab terkejut kerana albumnya mendapat sambutan hebat.
Ditanya berkenaan lagu-lagu ciptaannya yang berunsur nasihat, infotainment dan isu semasa seperti lagu Banjir dinyanyikan Allahyarham Harun Salim Bachik, ujar bapa kepada tiga anak itu, dia juga ingin menyampaikan mesej yang baik dalam lagu.
“Sebagai komposer, saya memang pastikan lagu-lagu yang dicipta ada konsep mengikut kesesuaian penyanyi. Termasuk lirik ditulis juga mesti ada mesej dan dekat dengan pendengar.
“Syukur Alhamdulillah, saya dah fikir mesti kena buat macam itu (lagu-lagu dicipta) sebab kita nak sebarkan kebaikan kepada orang lain dalam lagu melalui mesej hiburan disampaikan.
“Kita yang jadi komposer ini adalah tukang buat lagu. Jadi, sudah tentu ada beberapa kriteria boleh kita tengok pada seseorang penyanyi seperti ‘direction’ (halu tuju) dan sukatan suara mereka,” katanya.
Kata pensyarah di Universiti Utara Malaysia (UUM) ini lagi, komposer juga sama bidang tugasnya seperti tukang jahit dan tukang kasut apabila perlu mengetahui ukuran pelanggan dan tidak boleh buat sesuka hati sahaja.
ESOK: Kongsi ilmu seni sebagai pendidik
© New Straits Times Press (M) Bhd




