Yusry kembali dengan single solo terkini berjudul Jiwa & Raga

Yusry kembali dengan single solo terkini berjudul Jiwa & Raga

puterialia@hmetro.com.my

Selepas lebih tiga dekad mengukir nama dalam industri seni tanah air, Datuk Yusry Abdul Halim, 53, kini kembali dengan buah tangan terbaharu menerusi Jiwa & Raga.

Naskhah penuh emosi terbitan Sony Music Entertainment Malaysia ini amat signifikan kerana Yusry kembali dengan single solo sejak pelancaran lagu Dekat Padamu pada 2003.

Jiwa & Raga mengangkat tema cinta, pengorbanan dan keikhlasan yang lahir daripada hati adalah ciptaan Luca Sickta yang berjaya menghadirkan melodi mudah ‘melekat’ serta lirik dekat dengan pendengar.

Berkongsi mengenai naskhah terbabit, Yusry mengakui perkara pertama yang menyentuh hatinya sewaktu pertama kali mendengar demo lagu berkenaan adalah kekuatan emosi yang dibawakan.

“Bila saya dengar demo lagu ini buat pertama kali, saya terus rasa ada sesuatu yang sangat jujur dalam melodi dan liriknya.

“Ia bukan sekadar lagu cinta biasa, ia ada rasa kehilangan, pengorbanan dan ketulusan yang dekat dengan kehidupan sebenar,” katanya.

Menurutnya, Jiwa & Raga membawa maksud cinta yang diberikan sepenuhnya tanpa syarat, sehingga seseorang sanggup menyerahkan seluruh jiwa dan dirinya demi insan yang dicintai.

“Bagi saya, lagu ini menggambarkan seseorang yang mencintai dengan sepenuh hati, bukan separuh jalan dan bukan sekadar kata-kata.

“Apabila seseorang sanggup memberi Jiwa & Raga, itu adalah tahap cinta yang paling dalam,” katanya.

Terkenal dengan gaya persembahan cukup ikonik, suami kepada pelakon Datin Lisa Surihani ini mengakui cabaran terbesar ketika merakamkan lagu ini adalah bagaimana untuk menyampaikannya secara tulus dan sederhana.

“Lagu ini tidak memerlukan nyanyian yang terlalu besar atau berlebihan. Cabaran sebenar adalah untuk buat pendengar percaya pada setiap rasa yang disampaikan. Kadang-kadang emosi yang paling perlahan itulah yang paling kuat.

“Siapa sahaja yang tidak pernah melalui pengalaman mencintai, merindui atau kehilangan seseorang dalam hidup? Saya rasa itulah yang menjadikan lagu ini dekat dengan ramai orang.

“Emosi yang ada dalam Jiwa & Raga bukan milik seorang individu sahaja, tetapi sesuatu yang boleh dirasai oleh sesiapa sahaja,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top