redzuan.muharam@hmetro.com.my
Kota Bharu: “Memang ada yang mempersoalkan kemampuan saya menyara isteri dan anak yang ramai.
“Tapi rezeki ada anak ramai ini Allah SWT yang atur jadi siapa kita nak menidakkan pemberianNya kerana sebagai hamba, saya hanya mampu berusaha, berdoa dan tawakal,”.
Itu kata Shamsuri Shafie, 40, ketika menceritakan kisahnya dan isteri, Rosnaida Ismail, 39, yang selamat menimang cahaya mata ke-13 pada 23 November lalu.
Menurut Shamsuri, dia bersyukur kerana dikurniakan anak lelaki kelapan dan sepakat dengan isteri menamakan bayi mereka Muhammad Uwais Al Abbas yang bermaksud pemberian, pemimpin, berani serta sahabat Nabi.
“Bukan hanya kami malah anak yang lain turut gembira menyambut kelahiran Muhammad Uwais Al Abbas.
“Alhamdulillah, sebagai suami dan bapa, tentunya saya gembira sejak dapat tahu isteri hamil anak ke-13 kami lagi pada Mac lalu.
“Anak yang lain pun seronok dan sepanjang tempoh kehamilan, isteri tidak mengalami sebarang alahan.
“Bacaan darah dan paras gulanya memuaskan setiap kali pemeriksaan… urusan kelahiran anak pun dipermudahkan dan syukur semuanya selamat,” katanya kepada Harian Metro.
Shamsuri yang juga usahawan produk kesihatan berkata, isterinya kini berpantang jadi dia yang menguruskan anak dan urusan kerja rumah.
“Tiada istilah kekok, ini bukan kali pertama sudah 12 anak. Anak sulung pun sudah berumur 20 tahun dan yang lain pun sudah membesar jadi mereka banyak membantu jaga adik mereka.
“Saya tak paksa tapi mereka yang seronok dan ringan tulang nak membantu.
“Setakat ini tak ada masalah kerana semuanya dipermudahkan kerana apa pun, kami bersama dan membantu satu sama lain. Saya pun ada 13 adik beradik, sudah biasa dalam keluarga ramai jadi tak ada masalah pun,” katanya.
Mengulas mengenai komen segelintir warganet yang bersimpati dengan isterinya kerana kerap melahirkan cahaya mata dalam jarak dekat, Shamsuri menganggap ia hanya persepsi individu luar berdasarkan perkongsiannya di media sosial.
“Orang yang tak kenal dan hanya tengok kami di media sosial mungkin akan kata begitu.
“Kalau tengok komen di media sosial pun, memang ramai kata mengapa tak kasihankan isteri.
“Hakikatnya, isteri seronok ada anak ramai dan itu sifat penyayang serta keibuan yang Allah SWT hadirkan dalam dirinya. Dia gembira dan sebagai suami, saya sentiasa ada untuknya malah kami bahagia kerana pergi mana sekalipun akan bersama,” katanya.
Shamsuri berkata, dia dan isteri sedia dan tidak menolak untuk menerima cahaya mata lagi jika diizinkan Allah SWT.
Baginya, anak adalah anugerah kurniaan Allah SWT dan boleh menjadi asbab yang membuka pintu rezeki.
“Selepas kongsi mengenai kelahiran anak ke-13, sudah ada yang komen di TikTok mengenai anak ke-14 tapi saya anggap kata-kata mereka itu sebagai satu doa.
“Kita usaha dan merancang tapi perancangan Allah SWT tentunya lebih baik.
“Sebagai suami, saya sentiasa mendoakan isteri dapat jadi ibu terbaik dan tabah menempuh dugaan yang datang.
“Semoga kelahiran Mujahid (anak) kami itu, rezeki kami sekeluarga diperluaskan,” katanya.
Tahun lalu, Harian Metro menyiarkan kisah Shamsuri dan isterinya yang dikurniakan cahaya mata ke-12.
Kelahiran cahaya mata ke-13 menjadikan Shamsuri dan isterinya memiliki lapan cahaya mata lelaki dan lima perempuan.
Kisah keluarganya sering mendapat perhatian warganet kerana Shamsuri kerap berkongsi video dan gambar dengan bersama anak dengan isterinya di TikTok.
© New Straits Times Press (M) Bhd




