Utamakan keselamatan kanak-kanak ketika banjir – Sultan Pahang

Utamakan keselamatan kanak-kanak ketika banjir – Sultan Pahang

am@hmetro.com.my

Kuantan: Ibu bapa perlu memantau anak-anak sepanjang masa ketika musim banjir bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.

Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, bertitah kanak-kanak mesti mengelakkan daripada bermain di longkang, sungai dan taman permainan ditenggelami banjir.

Tegas baginda, semua ibu bapa perlu memastikan anak mereka tidak pergi bermain di kawasan itu.

“Ibu bapa perlu memantau rapi anak masing-masing termasuk ketika mereka di tempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS),” titah baginda kepada media selepas menyantuni mangsa banjir ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan Bunut Rendang, di sini, hari ini.

Baginda mengulas mengenai video tular di media sosial memaparkan sekumpulan kanak-kanak bermain di ‘taman air mini’ setelah tempat itu ditenggelami banjir.

Lawatan PPS ini dilakukan sejurus baginda berangkat pulang daripada temasya Sukan SEA di Thailand, tengah hari tadi.

Terdahulu baginda melakukan tinjauan udara menggunakan helikopter di kawasan terjejas banjir di beberapa daerah terjejas.

Menurut Al-Sultan Abdullah, hasil pemerhatian itu baginda mendapati sebahagian kawasan terjejas akibat banjir semakin pulih.

“Saya ingin memohon maaf kerana tidak dapat datang lebih awal kerana berada di Thailand bersama pasukan polo Malaysia diketuai anakanda saya, Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah dan pasukan itu memenangi pingat emas semalam,” titah baginda.

Al-Sultan Abdullah turut memuji komitmen kerajaan negeri mengurus operasi banjir dan agihan kepada mangsa dengan berkesan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top