UTC Seberang Perai beri manfaat kepada lebih 1 juta penduduk

UTC Seberang Perai beri manfaat kepada lebih 1 juta penduduk

am@hmetro.com.my

Butterworth: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim secara rasminya melancarkan Pusat Transformasi Bandar (UTC) Seberang Perai yang terletak di Terminal Pengangkutan Penang Sentral, di sini hari ini.

Operasi yang bermula sejak 3 November lalu kini bakal memberi manfaat kepada lebih satu juta penduduk di kawasan sekitar Seberang Jaya, Penaga, Prai, Bukit Mertajam serta kawasan sempadan selatan Kedah dan utara Perak.

UTC kedua di Pulau Pinang dan ke-24 di seluruh negara itu direka dan dibina oleh Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) berdasarkan kepada garis panduan dari Kementerian Kewangan (MOF) yang akan menjadi penanda aras baharu UTC.

Secara umumnya, penubuhan UTC dicetuskan melalui pembentangan Ucapan Belanjawan 2025 dan direalisasikan hasil kerjasama strategik antara MOF dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Menerusi kenyataan MOF, UTC itu terletak di hab pengangkutan bersepadu yang mengintegrasikan KTM, bas, feri dan teksi.

“UTC Seberang Perai berfungsi sebagai pintu masuk penting ke Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) dan memperkukuh kedudukan Butterworth sebagai pusat tumpuan sosioekonomi di bahagian Seberang Perai.

“Beroperasi setiap hari dari jam 8 pagi hingga 9 malam, UTC Seberang Perai

menempatkan pelbagai agensi utama termasuk Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Klinik Kesihatan dan Pergigian (KKM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) serta Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

“Antara kemudahan nilai tambah yang disediakan ialah Kiosk Sentuhan Madani (KSM)yang keempat di negara ini dan juga adalah KSM pertama di luar Lembah Klang,

serta Hab Informasi Bantuan Tunai (individu) yang mengurus pelbagai bantuan termasuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA), Budi MADANI RON95 (BUDI95) dan bantuan-bantuan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya.

Jelas kenyataan itu lagi, Hab Kerjaya Sektor Awam-Swasta turut diperkenalkan hasil kerjasama Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) dan MyFutureJobs, yang membuka peluang kepada pencari kerja tempatan mendapatkan maklumat dan khidmat nasihat kerjaya secara terus.

“Dari segi kemudahan operasi, UTC ini menampilkan Sistem Penggiliran Pintar Bersepadu (QMS), ruang kerja terbuka dan peralatan moden.

“Inisiatif ini mencerminkan aspirasi Malaysia Madani dalam membawa perkhidmatan

kerajaan lebih dekat kepada rakyat, menjimatkan masa dan kos perjalanan serta

meningkatkan kesejahteraan komuniti setempat,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top