Vaksin COVID-19: Deklarasi PBB pastikan akses saksama

NEW YORK: Kira-kira 180 daripada 193 negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menzahirkan komitmen bagi memastikan akses saksama terhadap vaksin COVID-19, menurut organisasi itu, semalam.

“Kami amat bimbang kerana pengagihan vaksin COVID-19 masih tidak seimbang di serata dunia, sama ada antara negara mahupun di dalam sesebuah negara itu sendiri.

“Perkara ini terjadi walaupun sudah ada deklarasi umum, inisiatif dan perjanjian antarabangsa dilakukan,” menurut deklarasi politik itu yang dimulakan oleh Lebanon.

Negara penandatangan deklarasi terbabit menegaskan, ada banyak negara masih belum mempunyai akses terhadap vaksin berkenaan.

Justeru, mereka menekankan bahawa kerjasama pelbagai hala dan solidariti global adalah perlu bagi meningkatkan pengeluaran serta pengagihan vaksin pada peringkat serantau serta antarabangsa.

Menurut deklarasi itu lagi, inisiatif COVAX yang disokong PBB dengan tujuan membantu negara miskin mendapat bekalan vaksin COVID-19, adalah ‘mekanisme sesuai’ bagi memastikan ‘akses adil untuk semua.’

Selain itu, semua negara berkemampuan amat digalakkan untuk berkongsi bekalan vaksin dengan negara miskin, berpendapatan sederhana dan yang memerlukan.

Setakat semalam, dokumen itu belum mendapat sokongan daripada sebilangan negara, termasuk Korea Utara, Myanmar, Benin, Burundi, Republik Afrika Tengah, Sudan Selatan, Syria dan Seychelles.

Vatican dan Palestin yang memegang status sebagai negara pemerhati, juga belum menandatangani deklarasi berkenaan. – AFP

© New Straits Times Press (M) Bhd