Liverpool: Kapten Liverpool, Virgil van Dijk menamatkan spekulasi mengenai masa depannya apabila menandatangani lanjutan kontrak selama dua tahun bersama kelab Liga Perdana Inggeris itu, hari ini.
Pertahanan tengah berusia 33 tahun dari Belanda itu mengikuti jejak langkah rakan sepasukan, Mohamed Salah yang turut memperbaharui kontraknya selepas beberapa bulan menjadi perhatian.
“Saya sangat gembira, sangat bangga,” kata Van Dijk.
“Banyak emosi bermain dalam fikiran saya ketika bercakap mengenai perkara ini. Ia satu perasaan yang membanggakan dan menggembirakan. Ia luar biasa.
“Perjalanan saya setakat ini cukup bermakna dan dapat melanjutkan kerjaya selama dua tahun lagi bersama kelab ini adalah sesuatu yang menakjubkan. Saya sangat bersyukur.”
Van Dijk menjadi antara watak penting dalam kebangkitan semula Liverpool di pentas domestik dan Eropah sejak menyertai kelab itu dari Southampton pada Januari 2018.
Setakat ini, dia telah membuat 314 penampilan bersama The Reds dan membantu kelab itu menjulang kejuaraan Liga Perdana, Liga Juara-Juara, Piala FA, dua Piala Liga, Piala Super UEFA dan Piala Dunia Kelab.
© New Straits Times Press (M) Bhd
