GEORGE TOWN – Pusat Racun Negara (PRN), Universiti Sains Malaysia (USM) menyifatkan penggunaan vape yang semakin berleluasa dalam kalangan remaja dan kanak-kanak sebagai satu bom jangka yang berpotensi mencetuskan impak kesihatan awam lebih besar sekiranya tidak ditangani segera.
Pengarahnya, Dr Nur Azzalia Kamaruzaman berkata, kebimbangan itu bukan sahaja berpunca daripada peningkatan penggunaan vape malah disebabkan evolusi pantas produk berkenaan yang menjadikannya semakin sukar dipantau, dikawal dan dirawat apabila berlaku keracunan serta penyalahgunaan.
Menurutnya, vape kini tidak lagi sekadar digunakan untuk pengambilan nikotin sebaliknya semakin jelas disalahgunakan sebagai medium pengambilan dadah dan bahan terlarang.
“Pelbagai bahan digunakan secara silih berganti termasuk dadah sintetik seperti kanabis sintetik, fentanyl dan etomidate yang mempunyai kesan sangat kuat serta sering kali sukar dirawat menggunakan pendekatan klinikal biasa.
“Bukti penyalahgunaan vape kini semakin ketara. Vape bukan sahaja membuka ruang kepada ketagihan nikotin, malah berpotensi menjadi pintu masuk kepada penggunaan dadah dalam kalangan anak muda,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, Malaysia mengambil masa hampir sedekad untuk mewartakan undang-undang khusus mengawal vape menerusi Akta Kawalan Produk Merokok 2024 selepas produk itu mula memasuki pasaran komersial tempatan.
Bagaimanapun, katanya, dalam tempoh tersebut industri vape berkembang dengan sangat pantas sehingga jauh mendahului mekanisme kawalan yang dibangunkan.
Jelas beliau lagi, pada peringkat awal, vape diperkenalkan melalui sistem terbuka yang memerlukan pengguna menambah cecair isian semula sendiri sebelum berevolusi kepada sistem tertutup atau pra-isian yang lebih mudah digunakan.
“Seterusnya muncul vape pakai buang yang lebih praktikal, murah dan mudah diakses oleh pelbagai lapisan masyarakat termasuk golongan kanak-kanak dan remaja.
“Malah reka bentuk vape yang kompak dan moden menarik minat pengguna baharu selain mudah disorok oleh pelajar sekolah,” ujarnya.
Dalam pada itu, Nur Azzalia berkata, perubahan turut berlaku terhadap kandungan nikotin yang digunakan dalam vape.
Katanya, nikotin yang pada awalnya hadir dalam bentuk ‘free-base’ dengan rasa lebih perit dan kurang selesa digunakan kini berevolusi kepada bentuk garam nikotin yang lebih mudah diterima termasuk oleh pengguna kali pertama.
“Lebih membimbangkan, kemunculan nikotin sintetik menjadikan proses pengesanan serta jangkaan kesan toksiknya semakin rumit,” katanya lagi.
Menurut beliau, evolusi pantas vape menyebabkan usaha pemantauan dan kawalan menjadi semakin mencabar manakala keupayaan makmal untuk menyaring serta mengesahkan kehadiran bahan terlarang dalam vape masih terhad serta memerlukan kos yang tinggi.
“Dalam keadaan bahan yang digunakan sentiasa berubah-ubah, usaha pengesanan menjadi semakin mencabar dan kadangkala tidak seiring dengan kepantasan perubahan pasaran gelap,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa pendedahan awal kepada nikotin dalam kalangan kanak-kanak dan remaja boleh memberi kesan terhadap perkembangan otak, daya pemikiran, keupayaan pembelajaran serta pembentukan tingkah laku mereka pada masa hadapan.
Keadaan itu, katanya, menjadi lebih membimbangkan apabila penggunaan vape dalam kalangan remaja terus menunjukkan peningkatan.
“Berdasarkan data Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS), prevalens penggunaan vape dalam kalangan remaja Malaysia meningkat daripada 9.8 peratus pada 2017 kepada 14.9 peratus pada 2022.
“Trend ini menunjukkan semakin ramai anak muda terdedah kepada nikotin dan berisiko terjerumus kepada ketagihan serta penyalahgunaan bahan pada usia yang lebih awal,” katanya.
Mengulas mengenai data kes keracunan berkaitan vape yang diterima PRN, beliau berkata, angka tersebut tidak menggambarkan realiti sebenar situasi di Malaysia.
Jelasnya, data berkenaan hanya berdasarkan panggilan yang diterima oleh PRN bagi tujuan mendapatkan maklumat pengurusan kes keracunan dan bukannya pangkalan data nasional pelaporan kes vape.
“Oleh itu, angka yang wujud berkemungkinan hanya mewakili sebahagian kecil daripada kejadian sebenar yang berlaku di lapangan.
“Situasi ini boleh diibaratkan seperti bom jangka yang menunggu masa untuk mencetuskan impak kesihatan awam yang lebih besar,” katanya.
Sehubungan itu, PRN menyatakan sokongan terhadap usaha Kementerian Kesihatan (KKM) dan gesaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mempertimbangkan langkah pengharaman vape demi melindungi kesihatan dan keselamatan rakyat khususnya generasi muda.
Namun, menurut beliau, sebarang pelaksanaan dasar pengharaman perlu disokong secara menyeluruh melalui kempen kesedaran berterusan, program bina upaya, penyediaan perkhidmatan rawatan ketagihan nikotin yang mudah dicapai serta penguatkuasaan yang tegas dan konsisten.
“Perhatian khusus juga perlu diberikan kepada kawalan penjualan vape terhadap kanak-kanak dan remaja.
“Kita tidak boleh terus membiarkan industri bergerak lebih pantas daripada dasar dan penguatkuasaan.
“Jika gagal bertindak sekarang, negara mungkin berdepan generasi yang bukan sahaja ketagih nikotin tetapi turut terdedah kepada perangkap dadah melalui peranti yang selama ini dianggap tidak berbahaya,” katanya.



