Vesel Vietnam cuba rempuh bot APMM

Vesel Vietnam cuba rempuh bot APMM

am@hmetro.com.my

Kudat: Sebuah vesel nelayan asing (VNA) Vietnam yang membawa peralatan khas diperbuat daripada besi padu untuk menangkap balat bertindak agresif apabila cuba merempuh bot Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dalam usaha meloloskan diri, semalam.

Bagaimanapun, cubaan berani itu gagal apabila bot ronda Cenderawasih 10 berjaya memintas dan menahan mereka jam 4 pagi di kedudukan 1.22 batu nautika tenggara Tanjung Bukit, Pulau Malawali.

Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Hasbullah Omar berkata, aset maritim Bot Cenderawasih 10 dikerahkan ke lokasi sejurus menerima maklumat awam sebelum mengesan pergerakan mencurigakan vesel berkenaan.

“Ketika dihampiri, suspek memotong tali tunda dan membiarkannya terjuntai panjang di belakang vesel, selain memasang palang besi di kiri dan kanan bot untuk menghalang pasukan operasi mendekat.

“Malah, suspek juga bertindak berani cuba merempuh bot ronda APMM yang cuba merapat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, APMM terpaksa mengejar vesel hampir 15 minit sebelum berjaya ditahan.

“Pemeriksaan lanjut mendapati vesel itu membawa peralatan khas besi padu dipercayai digunakan untuk menangkap balat.

Turut ditemui 40 kilogram balat dan 300 liter minyak diesel di atas bot berkenaan.

“Seramai lima individu warga Vietnam berusia 28 hingga 39 tahun ditahan kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya.

Beliau berkata, semua tangkapan bersama bot, hasil laut dan peralatan dibawa ke jeti Maritim Kudat untuk siasatan lanjut.

“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan melebihi RM2 juta dan kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 serta Akta Imigresen 1956/63.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top