PETALING JAYA: Persekutuan Pertubuhan India Muslim Malaysia (PERMIM) mencadangkan seorang wakil khas atau penyelaras dilantik di Pejabat Perdana Menteri bagi menyelaras dan memberi perhatian khusus terhadap keperluan serta isu masyarakat India Muslim di negara ini.
Presiden Kebangsaannya, Mohamed Azman Shah berkata, cadangan itu dikemukakan dalam sesi dialog khas yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bersama pemimpin masyarakat India di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, baru-baru ini.
Katanya, pertemuan tersebut membincangkan pelbagai perkara penting berkaitan kedudukan semasa, pembangunan masa depan komuniti, serta kebajikan sosial masyarakat India Muslim.
Dalam sesi itu, PERMIM diwakili bersama Setiausaha Agungnya, Adam Malik, dengan mengetengahkan beberapa isu utama termasuk jumlah populasi, pengiktirafan yang sewajarnya, serta sumbangan komuniti dalam pelan pembangunan negara.
Selain itu, PERMIM turut mengemukakan cadangan peruntukan khusus untuk kebajikan masyarakat tersebut dalam Belanjawan 2027 yang akan datang.
“PERMIM juga mencadangkan supaya diwujudkan satu mekanisme penyelarasan khas di Pejabat Perdana Menteri bagi mengurus dan memantau isu, keperluan serta aspirasi masyarakat India Muslim secara lebih tersusun dan berkesan,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Mohamed Azman, Perdana Menteri telah mendengar dengan teliti segala pandangan dan cadangan yang dikemukakan sepanjang sesi dialog berkenaan.
“Kami berharap semua cadangan yang dibangkitkan akan diteliti dan dipertimbangkan sewajarnya oleh kerajaan demi pembangunan dan kesejahteraan masyarakat India Muslim,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menyifatkan pertemuan itu sebagai platform penting dalam menyampaikan suara komuniti India Muslim ke peringkat tertinggi kerajaan serta memastikan kepentingan mereka terus diberi perhatian.
Tambah beliau, PERMIM komited untuk terus bekerjasama dengan kerajaan dan pihak berkepentingan bagi memperkasakan masyarakat India Muslim serta menyumbang kepada pembangunan negara.
Turut hadir ialah Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan dan Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil. – UTUSAN

