Menerusi hantaran di Instagram (IG), Ameera berkongsi video memaparkan dirinya duduk di atas pangku riba bapanya sambil dipeluk dari belakang.
Perkongsian itu bagaimanapun mengundang pelbagai reaksi apabila ada pihak menganggap tindakannya keterlaluan memandangkan usianya sudah meningkat dewasa.

Tidak berdiam diri, adik kepada Noor Neelofa itu tampil membidas komen negatif yang disifatkan sebagai pelik dan tidak masuk akal.
“Sejujurnya, ada komen yang saya baca memang sangat pelik dan tidak masuk akal. Macam mana boleh tengok seorang ayah menyayangi anaknya, tapi terus anggap perkara itu janggal?
“Terima kasih juga kerana secara jelas menunjukkan cara pemikiran kalian. Tidak semua perkara perlu diputarbelitkan hanya kerana mungkin pengalaman hidup anda begitu,” katanya.

Ameera berkata, dia bersyukur kerana dibesarkan dalam keluarga yang penuh kasih sayang selain bapanya tidak pernah teragak-agak menunjukkan rasa cinta terhadap anak-anak.
“Saya membesar dengan seorang ayah yang menyayangi saya secara terbuka, melindungi saya dan tidak pernah segan untuk menunjukkannya.
“Alhamdulillah. Jika itu bukan sesuatu yang kalian alami, itu bukan masalah saya,” ujarnya.
Dalam pada itu, Ameera turut menyifatkan komen segelintir netizen sebagai mencerminkan diri mereka sendiri.
“Ada antara kalian sebenarnya membuka pekung sendiri. Jelas kalian tidak merasai kasih sayang secukupnya. Inilah contoh seorang ayah yang penyayang.
“Kalau perlu, saya boleh bayarkan kos terapi anda,” katanya lagi.




