Video 'Sky Stadium' kononnya untuk Piala Dunia 2034 di Saudi rupanya rekaan AI

Video 'Sky Stadium' kononnya untuk Piala Dunia 2034 di Saudi rupanya rekaan AI

Paris: Sebuah video yang memaparkan rekaan stadium bola sepak kononnya bakal dibina di Arab Saudi untuk Piala Dunia 2034 tular di media sosial minggu ini namun disahkan palsu dan tidak ada kaitan dengan rancangan rasmi negara itu.

Rakaman berdurasi pendek itu menunjukkan sebuah stadium bercahaya dibina di atas pencakar langit, menarik jutaan tontonan serta dikongsi ribuan akaun media sosial yang menyangka ia visual rasmi kerajaan Saudi.

Bagaimanapun, pihak berkuasa menafikan perkara itu, menjelaskan rekaan berkenaan langsung tidak menyerupai sebarang projek yang dirancang di negara berkenaan.

“Rekaan ini palsu sepenuhnya dan tiada kaitan dengan mana-mana perancangan rasmi Arab Saudi. Ia tidak wujud dalam mana-mana sumber rasmi,” kata sumber yang dipetik AFP.

Arab Saudi sememangnya merancang untuk membina kawasan bola sepak di atas kompleks hartanah dalam projek bandar futuristik The Line, namun reka bentuk rasmi jauh berbeza dengan video yang tular itu.

Beberapa media di Perancis yang pada awalnya melaporkan video itu sebagai sebahagian projek sebenar, kini memadam atau mengemas kini laporan selepas disahkan ia adalah rekaan semata-mata.

Siasatan pasukan digital AFP mendapati video berkenaan dicipta oleh akaun Instagram “hyporaultraworks” yang sering berkongsi rekaan stadium futuristik berasaskan teknologi kecerdasan buatan (AI).

Dalam kapsyen asal, video itu digambarkan sebagai “reka bentuk stadium pencakar langit dari pandangan udara” dan penciptanya kemudian mengesahkan kepada AFP bahawa ia hanyalah projek kreatif peribadi.

“Apa yang bermula sebagai konsep AI ringkas kini mendapat lebih 50 juta tontonan dan tersebar ke seluruh dunia. Saya langsung tidak tahu tentang sebarang projek di Saudi ketika menciptanya,” katanya sambil menjelaskan ia hanyalah imaginasi tentang rupa stadium menegak masa depan.

Arab Saudi kini giat berbelanja besar untuk membangunkan infrastruktur mega menjelang penganjuran Piala Dunia 2034, namun “Sky Stadium” bukan sebahagian daripada rancangan rasmi mereka.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top