'Mengapa baru sekarang bekas suami mahu bangkitkan isu nusyuz' – Zehra Zambri

'Mengapa baru sekarang bekas suami mahu bangkitkan isu nusyuz' – Zehra Zambri

syafil.syazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur : Penyanyi, Zehra Zambri, 39, berkongsi bahawa perbicaraan rasmi membabitkan tiga kes iaitu nafkah anak, iddah, dan mut’ah sudah pun bermula di Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat, Bangi.

Bagaimanapun, perbicaraan semalam baru sahaja membuka kes bagi tuntutan nafkah anak yang menyaksikan Zehra sendiri turun naik ke kandang saksi untuk memberikan keterangan buat kali pertama.

Penyanyi lagu Semalakama itu begitupun mendakwa, bekas suaminya, Nur Mohd Iqwan Samsudin yang tidak diwakili peguam menimbulkan provokasi di mahkamah, termasuklah memohon agar Zehra disabitkan sebagai nusyuz (derhaka).

“Saya rasa pelik kerana kami sudah pun bercerai, mengapa baru sekarang dia mahu membangkitkan isu nusyuz? Alasan yang diberikannya adalah kerana saya keluar dari rumah semasa tempoh perkahwinan dahulu.

“Memang benar saya keluar, tetapi waktu itu kami sedang menghadapi konflik kritikal sehingga membabitkan siasatan polis,” katanya kepada Harian Metro.

Zehra menegaskan tindakan keluar rumah itu dilakukan atas nasihat pihak polis demi keselamatan diri.

Malah, dia hanya menetap di rumah keluarganya sendiri yang terletak cuma dua kilometer dari rumah kelamin mereka.

Lebih mengejutkan, lelaki itu turut mengemukakan tuntutan balas menuntut wang ganti rugi sebanyak RM50,000 daripada Zehra, didakwa pengeluaran daripada akaun KWSP miliknya yang digunakan untuk membeli perabot serta keperluan rumah sepanjang perkahwinan mereka dahulu.

“Saya berpendapat tuntutan itu sudah terkeluar daripada bidang kuasa mahkamah ini. Kalau dia tuntut harta sepencarian, silalah buka fail berasingan di Mahkamah Tinggi, bukannya menumpang di dalam kes tuntutan nafkah saya ini.

“Disebabkan terlalu banyak tuntutan tidak masuk akal, peguam menasihatkan saya untuk tidak melayan perkara itu. Biarlah dia bentangkan sendiri dan biar hakim yang buat keputusan nanti,” katanya.

Zehra turut mendedahkan bahawa Hakim sempat menegur sikap melengah-lengahkan bekas suaminya itu yang cuba meminta penangguhan kes dengan alasan belum bersedia dengan soalan untuk sesi soal balas.

Tindakan itu nyata mengundang kekecewaan pihak mahkamah memandangkan kes itu sudah difailkan sejak awal tahun lagi.

“Melihat pihaknya yang agak sukar memberikan kerjasama, saya rasa kes ini mahu atau tidak terpaksa diselesaikan melalui saluran perbicaraan mahkamah penuh walaupun memakan masa lama,” katanya.

Kes perbicaraan tuntutan itu ditangguhkan dan akan disambung semula pada 17 Julai depan di Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat.

Terbaharu, Zehra yang kini memegang status ibu tunggal berkongsi mengenai kehadiran single baharu berjudul Damba Penawar, tidak lama lagi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top