Video suami lafaz cerai terhadap Nora dikatakan rakaman lama

Video suami lafaz cerai terhadap Nora dikatakan rakaman lama

Kuala Lumpur : Video suami penyanyi, Datuk Nora Ariffin, 51, iaitu Dr Rushdi Ramli melafazkan cerai talak satu terhadap penyanyi itu yang dimuat naiknya di Instagram, hari ini, dikatakan dirakam beberapa tahun lalu.

Difahamkan, Nora yang berkahwin dengan Rushdi pada 2021 pernah bercerai tetapi merujuk semula dalam tempoh edah.

Bagaimanapun, tindakan Nora memuat naik video itu di Instagram kira-kira jam 8 malam hari ini mencetuskan tanda tanya dalam kalangan netizen.

“Alhamdulillah. Selesai. Allah saja yang tahu,” tulisnya di hantaran itu.

Bagaimanapun, dalam hantaran itu Nora menutup ruangan komen.

“Saya yang bernama Rushdi Ramli, dengan ini menceraikan dan mentalakkan isteri saya, Wan Norafiza Ariffin dengan talak satu kerana Allah,” lafaz Rushdi dalam video itu.

Sementara itu, cubaan Harian Metro menghubungi Nora bagi mendapatkan penjelasannya tidak berjaya apabila dia tidak membalas mesej WhatsApp dan menjawab panggilan telefon.

Terdahulu, spekulasi mengatakan rumah tangga penyanyi itu dengan Pensyarah Kanan, Jabatan Figh & Usul, Universiti Malaya itu goyah sudah bertebaran sejak tahun lalu, namun Nora menafikannya.

Nora berkata, dia masih bergelar isteri kepada Rushdi dan hubungan mereka masih dalam keadaan baik.

Penyanyi kelahiran Kelantan itu mendirikan rumah tangga dengan Rushdi dalam satu majlis pada 2021. Tidak menjelaskan secara terperinci butiran majlis perkahwinannya, Nora memaklumkan bertemu jodoh dengan sahabat baik Allahyarham suaminya, Johan Nawawi.

Sebelum itu, Nora mendirikan rumah tangga dengan Johan pada 1992 dan dikurniakan empat cahaya mata. Namun, Johan meninggal dunia pada 24 Mac 2017 pada usia 52 tahun akibat serangan jantung.

Pada 13 Disember 2019, Nora diuji dengan pemergian anak kedua, Muhammad Syakir Aliff berusia 20 tahun.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top