[VIDEO] Wani Kayrie Menangis, Sebak Kenang Perjalanan Seni – “Saya Pernah Dikecam Lagu Merepek Macam Budak-Budak”

[VIDEO] Wani Kayrie Menangis, Sebak Kenang Perjalanan Seni – “Saya Pernah Dikecam Lagu Merepek Macam Budak-Budak”

Penyanyi, Wani Kayrie mengakui pernah melalui detik sukar dalam dunia seni apabila karyanya tidak mendapat sambutan sewajarnya daripada pendengar.

Menerusi satu video yang dimuat naik di TikTok, penyanyi yang popular dengan lagu Cak Cak Cekuk itu tidak dapat menahan sebak ketika mendengar kembali salah satu lagunya dalam pelancaran EP sulung berjudul W2K.

Dalam luahannya, pemilik nama sebenar Syazwani Abdullah itu berkata, dia pernah menerima kecaman hebat terhadap karyanya yang dilabel sebagai ‘tiada kualiti’ dan ‘lagu budak-budak’.

“Saya gagal kawal emosi. Terlalu banyak yang saya lalui… segala usaha dan cabaran untuk hasilkan sesuatu demi puaskan hati semua orang.

“Saya pernah dikecam kononnya lagu saya merepek, macam lagu budak-budak. Tapi saya suka semua lagu yang saya dapat. Saya enjoy setiap persembahan, dan saya gembira bila ada yang kenal lagu-lagu saya, walaupun tak tular macam lagu lain,” katanya.

Wani turut mengakui sebagai anak seni, dia sedar bahawa mustahil untuk memuaskan hati semua pihak.

“Saya tahu sampai bila-bila pun saya takkan dapat puaskan hati semua orang. Cukup saya tahu ada yang masih setia dan menghargai lagu-lagu saya,” katanya.

Meski menempuh pelbagai cabaran dan kritikan, Wani tetap bersyukur kerana masih diberi ruang untuk terus berkarya dalam dunia muzik yang dicintainya.

“Saya bersyukur, sampai hari ini saya masih diberi peluang untuk terus menyanyi dan menghiburkan semua. Itu sudah cukup bermakna buat saya,” tambahnya.

Di akhir perkongsian itu, Wani turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua yang sentiasa berdiri di belakangnya sejak awal pembabitan dalam industri.

@wani.kayrie

i tried, but i get tired too sometimes ❤️‍🩹

♬ Biarkan – Wani Kayrie

Scroll to Top