Vijay jadi harapan baharu

Vijay jadi harapan baharu

DARIPADA wira layar perak kepada kuasa baharu Tamil Nadu, Joseph Vijay Chandrasekhar kini berdepan cabaran sebenar untuk membuktikan populariti mampu diterjemah kepada pentadbiran berkesan.

Di Tamil Nadu, selatan India, pemujaan terhadap bintang filem menjadi sebahagian daripada budaya masyarakat.

Potret gergasi pelakon terkenal sering dimandikan dengan susu oleh peminat fanatik, malah beberapa figura perfileman sebelum ini turut berjaya menjadi pemimpin politik.

Namun, Vijay berbeza kerana kepantasan perjalanannya daripada bintang filem kepada tokoh politik yang kini menggoncang landskap Tamil Nadu.

Parti pimpinannya, Tamilaga Vettri Kazhagam (TVK), meraih 108 daripada 234 kerusi dalam pilihan raya negeri Tamil Nadu yang diumumkan minggu ini, sekali gus mencetuskan perubahan besar dalam politik India.

Seorang peniaga menjual gambar dan poster Vijay, di Chennai. Foto :AFP

Seorang peniaga menjual gambar dan poster Vijay, di Chennai. Foto :AFP

Kemenangan itu turut menamatkan dominasi hampir 50 tahun dua parti utama negeri berkenaan, Dravida Munnetra Kazhagam (DMK) dan All India Anna Dravida Munnetra Kazhagam (AIADMK), yang selama ini mencorakkan politik Tamil Nadu menerusi ideologi Dravidian, keadilan sosial dan autonomi wilayah.

Janjikan perubahan

Vijay, yang digelar Thalapathy atau pemimpin oleh peminatnya, menampilkan dirinya sebagai wajah baharu yang menentang politik lama, termasuk pengaruh nasionalisme Hindu Parti Bharatiya Janata (BJP) pimpinan Perdana Menteri, Narendra Modi.

Beliau turut membawa janji pertumbuhan ekonomi agresif, termasuk sasaran menjadikan Tamil Nadu sebagai ekonomi bernilai AS$1.5 trilion (RM5.8 trilion) dalam tempoh sedekad.

Menurut penganalisis politik, Kannan Rajarathinam, kerajaan DMK sebelum ini dibelenggu isu dinasti politik, rasuah, kelemahan penyampaian perkhidmatan serta masalah keselamatan.

Beliau berkata, Vijay berjaya memanfaatkan rasa tidak puas hati rakyat, khususnya golongan muda yang berdepan cabaran pekerjaan dan masa depan ekonomi.

“Beliau ialah superstar yang meninggalkan dunia lakonan demi kerjaya awam. Vijay lebih muda dan mudah berkomunikasi,” kata Rajarathinam kepada The Independent.

Vijay. Foto: Agensi

Vijay. Foto: Agensi

Kekuatan Vijay bukan hanya terletak pada popularitinya sebagai pelakon, tetapi juga kemampuannya menukar jaringan peminat kepada jentera politik tersusun.

Walaupun TVK hanya dilancarkan secara rasmi pada 2024 selepas beliau meninggalkan dunia lakonan, gerakan sokongan terhadapnya bermula lebih awal menerusi Vijay Makkal Iyakkam, rangkaian kelab peminat yang berkembang sebagai platform kebajikan dan khidmat masyarakat.

Sejak muncul dalam industri filem Tamil pada 1992, Vijay membina persona sebagai anak muda berani, jujur dan pembela keadilan.

Wataknya sebagai belia menganggur, nelayan dan pegawai polis berintegriti menjadikannya dekat dengan masyarakat kelas pekerja.

Penyokong dan anggota parti TVK meraikan kejayaan parti memenangi kerusi terbanyak dalam pilihan raya negeri. Foto :AFP

Penyokong dan anggota parti TVK meraikan kejayaan parti memenangi kerusi terbanyak dalam pilihan raya negeri. Foto :AFP

Filem Sarkar pada 2018 pula dilihat memperlihatkan bayangan awal minat politiknya apabila mengetengahkan isu penipuan undi dan manipulasi pilihan raya.

Kemenangan TVK turut dikaitkan dengan keletihan pengundi terhadap persaingan lama DMK-AIADMK. Bagi ramai pengundi bawah 40 tahun, Vijay dianggap sebagai harapan baharu untuk mencabar status quo.

Namun, laluan Vijay untuk mentadbir Tamil Nadu tidak mudah. Walaupun TVK muncul sebagai parti terbesar, beliau masih perlu membentuk gabungan bagi memperoleh majoriti mencukupi untuk menubuhkan kerajaan.

Vijay dilaporkan telah bertemu gabenor negeri dan mengemukakan tuntutan untuk membentuk kerajaan pada Khamis, namun belum dapat mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri kerana belum memperoleh jumlah Ahli Dewan Undangan Negeri yang diperlukan.-Agensi

Scroll to Top