Viktor Axelsen umum gantung raket pada usia 32 tahun

Viktor Axelsen umum gantung raket pada usia 32 tahun

JAGUH badminton perseorangan lelaki dunia, Viktor Axelsen secara rasmi mengumumkan persaraannya daripada arena profesional pada usia 32 tahun.

Axelsen mendedahkan bahawa keputusan sukar itu terpaksa diambil berikutan masalah kecederaan belakang yang berlarutan sehingga menjejaskan prestasinya untuk bersaing di tahap tertinggi.

“Disebabkan masalah belakang yang berulang, saya tidak lagi mampu untuk bertanding dan berlatih pada tahap tertinggi.

“Selepas menjalani pembedahan endoskopik, pelbagai suntikan, kaedah latihan baharu, rawatan, dan mencuba segala-galanya untuk bebas daripada kesakitan dalam tempoh yang lama, saya akhirnya dinasihatkan untuk memberi tumpuan kepada kesihatan jangka panjang saya,” katanya dalam satu kenyataan di Instagram miliknya pada Rabu.

Sepanjang kariernya, Axelsen telah memenangi hampir kesemua gelaran utama dalam dunia badminton, termasuk dua pingat emas Sukan Olimpik (Tokyo 2020 dan Paris 2024), dua gelaran Juara Dunia, tiga kali Juara Eropah, serta menjadi watak penting ketika membantu Denmark menjulang Piala Thomas pada 2016.

Malah, beliau juga berada di kedudukan nombor satu dunia dalam ranking BWF selama 183 minggu.

Mengulas lanjut mengenai perjalanannya, Axelsen menyifatkan badminton bukan hanya kerjaya, sebaliknya ia adalah sebahagian besar daripada hidupnya sejak pertama kali memegang raket.

“Saya telah memberikan segala-galanya kepada sukan ini demi mengejar impian menjadi yang terbaik di dunia. Setiap hari, setiap sesi latihan, dan setiap perlawanan adalah pengorbanan saya. Ia bukan sekadar kerjaya, ia adalah hidup saya.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua doktor, pakar, jurulatih, rakan sepelatih, dan pihak lawan yang telah mencabar serta membentuk siapa saya hari ini. Tanpa anda, saya tidak akan mencapai tahap ini,” jelasnya.

Walaupun mengumumkan persaraan sebagai pemain, Axelsen memberi bayangan bahawa beliau tidak akan meninggalkan dunia badminton sepenuhnya.

“Walaupun ini adalah ucapan selamat tinggal daripada Viktor Axelsen sebagai pemain badminton, saya tidak akan meninggalkan sukan ini selamanya. Saya akan sentiasa ada dalam satu cara atau yang lain.

“Saya memberikan segala-galanya kepada badminton, dan badminton memberikan segala-galanya kembali kepada saya dengan penuh kasih sayang dan kesyukuran,” tambahnya lagi.

Scroll to Top