Vingegaard makin hampir ukir sejarah Giro

Vingegaard makin hampir ukir sejarah Giro

PIANCAVALLO: Jonas Vingegaard semakin hampir menamatkan penantian menjulang gelaran pertama Giro d’Italia selepas sekali lagi membuktikan dominasinya di pergunungan menerusi kemenangan pada peringkat ke-20, semalam.

Pelumba Denmark itu tampil cukup bertenaga ketika menawan pendakian terakhir di Piancavallo sebelum meninggalkan pencabar terdekatnya, Felix Gall untuk semakin selesa menguasai kedudukan keseluruhan menjelang penutup perlumbaan di Rom.

Kemenangan tersebut menyaksikan Vingegaard hanya selangkah untuk melengkapkan koleksi kejuaraan tiga Grand Tour selepas sebelum ini sudah menjuarai Tour de France dan Vuelta a Espana.

Pelumba pasukan Visma–Lease a Bike itu kini mendahului Gall dengan kelebihan lima minit 22 saat manakala Jai Hindley dari Australia berada di tangga ketiga keseluruhan.

“Saya suka menang dan mahu memenangi sebanyak mungkin perlumbaan. Kami membuat keputusan untuk menyerang sekali lagi hari ini kerana ia hari terakhir di pergunungan.

“Kami memberikan segala-galanya untuk memburu kemenangan peringkat ini,” kata Vingegaard.

Vingegaard yang juga juara dua kali Tour de France dilihat berada pada tahap terbaik menjelang misi memburu gelaran berganda Giro-Tour musim ini walaupun terpaksa berdepan masalah kesihatan pada minggu pertama perlumbaan.

“Pasukan melakukan tugas luar biasa sekali lagi hari ini dan saya sendiri berasa sangat baik sepanjang perlumbaan.

“Menang lima peringkat dan memiliki kelebihan selesa sebelum tamat perlumbaan memang sesuatu yang cukup istimewa buat saya,” katanya. – AGENSI/UTUSAN

Scroll to Top