Jualan langsung bina jenama peribadi, kemahiran

Jualan langsung bina jenama peribadi, kemahiran

redzuan.muharam@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Inisiatif mencari pendapatan menerusi jualan langsung boleh menjadi platform permulaan yang baik sebagai usahawan namun perlu dilihat secara realistik dan bukan jalan pintas untuk berjaya.

Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Ekonomi dan Kewangan dari Fakulti Perniagaan dan Pengurusan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dr Mohamad Idham Md Razak berkata, dari sudut jangka panjang, jualan langsung boleh memberi manfaat dan pulangan jika disertai dengan strategi yang jelas serta peningkatan nilai diri.

Bagaimanapun, Mohamad Idham berpandangan individu yang berjaya dalam bidang itu bukan sekadar menjual produk namun membina jenama peribadi, rangkaian pelanggan dan kemahiran keusahawanan.

“Tanpa perancangan, ramai yang berdepan risiko ‘burnout’ (keletihan fizikal, mental dan emosi) atau pendapatan yang mendatar.

“Justeru, untuk kelestarian jangka panjang, penting untuk mengembangkan kemahiran, mempelbagaikan sumber pendapatan dan tidak bergantung sepenuhnya kepada satu model perniagaan saja.

“Kisah individu yang berjaya hingga mampu membuka kilang sendiri misalnya memang wujud dan menunjukkan bahawa jualan langsung masih relevan sebagai batu loncatan ke arah keusahawanan namun ia perlu dilihat sebagai terpencil, bukan norma,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai masa depan anak muda dan lepasan graduan yang mencari rezeki dalam bidang jualan langsung

Menurut Mohamad Idham, kejayaan biasanya datang daripada kombinasi disiplin tinggi, strategi perniagaan yang baik dan keupayaan mengembangkan operasi melebihi model jualan langsung semata-mata.

Katanya, formula itu terpakai dalam bidang jualan langsung yang boleh menjadi platform melahirkan usahawan.

Meskipun begitu, hasilnya bergantung kepada usaha, ilmu dan kebolehan menyesuaikan diri bukan semata-mata sistem jualan itu sendiri.

“Nasihat kepada anak muda sebelum menceburi jualan langsung ialah untuk buat penilaian yang teliti dan berinformasi,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top