'Nak malu jumpa orang atau malu tak ada duit'

'Nak malu jumpa orang atau malu tak ada duit'

redzuan.muharam@hmetro.com.my

Gombak: “Saya memang pemalu. Tapi bila fikirkan, nak malu jumpa orang atau malu tak ada duit.

“Jadi lebih baik buat kerana nampak boleh buat duit walaupun ada yang persoalkan saya tiada masa depan kerana tengok saya kerja tengah panas ,” kata Muhammad Nur Haziq Suhaimi.

Muhammad Nur Haziq, 23, yang berasal dari Felda Semenchu Kota Tinggi, Johor sebelum ini bekerja sebagai pengawal keselamatan di Pengerang namun berhenti dan mencari rezeki dengan melakukan jualan langsung sejak tiga tahun lalu.

Anak ketiga daripada empat beradik itu berkata, dia terjebak kerana minat berniaga dan melihat pulangan diperoleh rakannya yang terlebih dulu aktif dalam jualan langsung.

Muhammad Nur Haziq mengakui tertekan pada awalnya kerana belum dapat menyesuaikan diri dengan kerja harian yang menuntutnya bertemu individu secara bersemuka.

“Tapi bila tengok kawan boleh buat, saya terfikir kenapa saya tidak boleh jadi cuba belajar.

“Tidak sampai seminggu, saya sudah boleh sesuaikan diri dan pendekatan awal saya adalah hafal perkataan yang nak disebut waktu jumpa orang.

“Cabarannya adalah nak menyapa orang dan setakat ini tak pernah dikasari cuma pernah beri salam kemudian minta maaf kerana mengganggu,” katanya.

Muhammad Nur Haziq berkata, bulan pertama pendapatannya mencecah RM3,000 dan sekarang boleh dapat antara RM6,000 hingga RM10,000.

“Syukur juga kerana dengan pendapatan itu, saya dapat bantu keluarga termasuk belikan emas untuk emak dan tanggung adik sambung belajar.

“Disebabkan itu, saya nampak jualan langsung masih relevan kerana boleh dapat duit dengan cepat.

“Kerja ini pun beri pengalaman berharga kerana dapat jumpa dan tengok ragam orang jadi untuk anak muda yang nak cari potensi diri, boleh ceburi bidang jualan.

“Lagipun, orang muda masih banyak tenaga jadi mereka ada kelebihan. Sekarang pun saya sudah ada pasukan dan berhasrat kembangkan lagi kerana nampak cabang perniagaan ini boleh pergi jauh,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top