Visual kemarahan

Visual kemarahan

hafizithnin@mediaprima.com.my

PEREKA fesyen muda berusia 21 ini menterjemahkan kecintaannya terhadap elemen sejarah yang pernah berlaku di negara ini.

Meskipun dari sisi luar, di pentas peragaan koleksi kapsulnya kelihatan rekaan kasual yang berani, tetapi tersirat sebuah inspirasi.

Che Ku Azreen Sofea Che Ku Azih berkata, koleksi kapsul itu diinspirasikan daripada kesan emosi penjajahan kuasa asing terhadap Tanah Melayu dan memfokuskan kepada Melaka.

Katanya, bangunan lama, Stadthuys digunakan dengan menterjemahkan elemen seni seperti warna, tekstur dan falsafah yang diambil dari bangunan itu sendiri. Kemudian ia diolah mengikut konsep idea ‘subbudaya punk.’

“Matlamat konsep koleksi ini adalah sebagai tanda ingatan buat mereka yang kehilangan nyawa dalam mempertahankan tanah air daripada kuasa luar.

“Koleksi ini menyerlahkan sentimen kemarahan yang mendalam dalam kalangan penduduk tempatan yang timbul ketika zaman penjajahan dan rasa dendam yang wujud kerana usaha memerangi penjajahan tidak berkesan.

“Reka bentuk ini sejajar dengan kategori sedia untuk dipakai (RTW) dengan meneroka bayang-bayang, warna dan tekstur berbeza yang boleh menggambarkan emosi kemarahan secara visual,” katanya.

Katanya, penghasilan kapsul itu mengambil masa enam bulan termasuk proses kajian tema, lawatan tapak, kategori sasaran, pengembangan idea dan penghasilan produk.

“Setiap lakaran dan idea reka bentuk sudah disemak dan ditambah baik untuk menghasilkan koleksi rekaan yang menepati konsep serta tema dipilih. Koleksi ini membabitkan pemilihan lima rekaan akhir. Kemudian dibuat prototaip (toile), eksperimen fabrik dan proses jahitan.

“Pemilihan warna dalam koleksi ini adalah diilhamkan daripada falsafah dan simbolik kemarahan seperti warna hitam, merah serta putih. Manakala pemilihan fabrik pula diambil dari subbudaya punk.

“Ciri-ciri yang tajam menangkap keganasan penjajahan, manakala unsur yang lebih lembut dan kurang menonjol mencadangkan kemarahan yang ditindas. Garisan abstrak seperti percikan darah menyampaikan kualiti dinamik dan keganasan, mewakili keamatan kemarahan, manakala cetakan fabrik di bahagian dalam jaket memberi mesej mengenai propaganda ketika zaman penjajahan,” katanya.

Jelasnya, penggunaan tekstur yang matte seperti kain kapas dan denim, digabungkan dengan fabrik berkilat seperti taffeta dan kulit adalah untuk melambangkan kekejaman penjajahan.

“Tekstur matte membangkitkan estetika yang muram dan berat. Manakala fabrik berkilat menyerlahkan kontras antara ‘kemewahan’ penjajah dan penderitaan yang dijajah, menekankan perbezaan antara dinamik kehidupan mereka.

“Teknik ‘patchwork’ yang digunakan juga diilhamkan oleh lantai di bangunan Stadthuys. Kemasan fabrik yang dibiarkan berantakan adalah simbolik kepada kekacauan yang berlaku ketika penjajahan yang juga selari dengan estetika punk,” katanya.

Tambahnya, sasaran koleksi kapsul itu adalah untuk penggemar fesyen wanita yang ingin mengetengahkan ekspresi individu dalam berpakaian, sesuai digayakan untuk acara berprestij, pameran, mahupun sebagai pakaian harian.

“Koleksi ini juga bertujuan memberi mesej bahawa pakaian bukan hanya digunakan untuk kecantikan, tetapi juga untuk berkomunikasi mengenai ketidakadilan kehidupan,” katanya.

Tambahnya, cabaran menyiapkan koleksi kapsul ini adalah untuk menyampaikan mesej kemarahan melalui visual, sambil tidak terpesong daripada kategori RTW.

“Selain itu, koleksi ini juga menggunakan pelbagai jenis fabrik yang bersumberkan daripada pelbagai material termasuk pakaian terpakai,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top