Vivy, suami dijangka berdepan pertuduhan pecah amanah

Vivy, suami dijangka berdepan pertuduhan pecah amanah

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pengasas platform e-dagang, FashionValet, Datin Vivy Yusof dan suaminya, Datuk Fadzaruddin Shah Anuar yang akan didakwa Khamis ini, dijangka berdepan pertuduhan berkaitan kesalahan pecah amanah.

Pasangan berkenaan dipercayai melakukan pecah amanah membabitkan pelaburan dana Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) dalam platform e-dagang itu.

Terdahulu, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) Tan Sri Azam Baki dilaporkan mengesahkan pasangan terbabit akan didakwa dan pihaknya juga menahan suami isteri itu

di pejabat SPRM, tengah hari tadi.

Bagaimanapun katanya, pasangan terbabit sudah dibebaskan dengan jaminan SPRM untuk hadir ke mahkamah pada Khamis ini.

Sebelum ini media melaporkan, Azam mengesahkan pihaknya menyiasat pelaburan oleh Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) dalam FashionValet.

Media turut melaporkan SPRM menyerbu FashionValet dan menurut sumber, selain FashionValet, turut diserbu secara serentak adalah Kementerian Kewangan (MOF), Khazanah dan PNB.

Vivy dan Fadzaruddin Sha diambil keterangan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Terdahulu isu berhubung kerugian pelaburan terbabit turut mendapat perhatian di media sosial sebelum Vivy dan suaminya turut memohon maaf susulan kontroversi berkenaan yang menjejaskan PNB dan Khazanah.

Vivy dan Fadzaruddin juga mengakui tidak memiliki perancangan mencukupi untuk FashionValet berdepan risiko cabaran ketika cuba mengembangkan perniagaan secara agresif.

Mereka mengakui melakukan kesilapan dengan mengembangkan perniagaan berdasarkan jangkaan pertumbuhan berterusan, biarpun ketika pandemik Covid-19.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top