Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melantik Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza sebagai Ikon Keselamatan Jalan Raya JPJ selaras usaha memperkukuh advokasi keselamatan jalan raya dalam kalangan masyarakat.
JPJ dalam kenyataan memaklumkan pelantikan itu dibuat berdasarkan kredibiliti, pengaruh serta penerimaan meluas penyanyi berkenaan dalam kalangan rakyat yang diyakini mampu menyampaikan mesej kesedaran keselamatan jalan raya secara lebih berkesan dan menyeluruh.
“Inisiatif ini menzahirkan pendekatan holistik JPJ yang tidak hanya tertumpu penguatkuasaan semata-mata, tetapi turut memberi penekanan elemen advokasi dan pendidikan sebagai strategi dalam mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.
“Peranan dimainkan ikon ini penting dalam memperluas capaian kempen keselamatan serta membentuk sikap dan budaya pemanduan berhemah dalam kalangan rakyat,” katanya pada Majlis Sambutan Hari Ulang Tahun JPJ ke-80 yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Terdahulu, Perdana Menteri diiringi Ketua Pengarah JPJ, Aedy Fadly Ramli menyerahkan plak sebagai simbolik pelantikan itu sempena Sambutan Ulang Tahun ke-80 JPJ yang berlangsung serentak dengan Karnival Jom Heboh (KJH) X Mega JPJ MADANI 2026 di Stadium Negeri Pulau Pinang.

Artikel lain: Kerajaan pertimbang turunkan cukai jalan kenderaan diesel, kurangkan beban rakyat – PM Anwar
Dalam pada itu, Siti Nurhaliza dijadualkan membuat kemunculan istimewa bergandingan dengan legenda rock, Datuk Awie pada konsert Jom Heboh malam ini, yang turut menampilkan barisan artis popular tanah air termasuk Shiha Zikir, Kristal X dan Wani Kayrie, sekali gus dijangka menarik ribuan pengunjung sebagai kemuncak acara.

Pada malam esok pula, pentas hiburan diteruskan dengan persembahan Nadeera, Ara Johari, Hael Husaini, Mariam OIAM, K.O.I serta kumpulan Floor 88 yang akan menghangatkan suasana acara tersebut.



