Wajibkan dashcam pada bas, teksi demi keselamatan penumpang

Wajibkan dashcam pada bas, teksi demi keselamatan penumpang

lokman.khairi@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kerajaan disarankan mewajibkan pemasangan kamera papan pemuka (dashcam) pada semua kenderaan pengangkutan awam seperti bas dan teksi bagi membantu merekod dan menganalisis insiden yang berlaku ketika di jalan raya terutama membabitkan kemalangan maut.

Pensyarah Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Nurrul Hafeezah Saha berkata, dashcam boleh dijadikan bahan bukti penting untuk siasatan pihak berkuasa, sekiranya berlaku insiden tidak diingini.

Menurutnya, peranti terbabit juga berperanan sebagai alat pemantauan tingkah laku pemandu.

“Dashcam sepatutnya wajib dipasang pada semua kenderaan awam.

“Ia boleh membantu pengurusan syarikat pengangkutan awam untuk mengenal pasti tingkah laku tidak selamat oleh pemandu semasa memandu,” katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Katanya, seiring peningkatan kes kemalangan membabitkan pengangkutan awam, sudah tiba masanya dashcam dijadikan satu keperluan mandatori.

Mengulas kejadian kemalangan bas yang meragut 15 nyawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Raya Timur-Barat, Gerik, semalam, Dr Nurrul Hafeezah berkata, aspek penguatkuasaan dan latihan pemandu perlu ditambah baik secara menyeluruh agar insiden sama tidak berulang.

Menurutnya, semua pemandu pengangkutan awam seharusnya mengikuti latihan keselamatan berasaskan tingkah laku (behaviour-based safety) yang terbukti mampu membentuk budaya kerja lebih selamat dan berdisiplin.

“Ini termasuk keperluan untuk memastikan semua pemandu menjalankan pemeriksaan kenderaan sebelum memulakan perjalanan selaras dengan amalan keselamatan industri.

“Setiap pemandu mesti tahu bagaimana dan apa yang perlu diperiksa sebelum memulakan perjalanan seperti brek, tayar, lampu, enjin dan sebagainya. Amalan ini wajib dijadikan rutin dan bukan sekadar formaliti,” katanya.

Katanya, masyarakat juga perlu lebih peka dan memilih perkhidmatan yang menitikberatkan aspek keselamatan dan bukan hanya berdasarkan harga atau jadual perjalanan semata-mata.

“Kesedaran masyarakat adalah untuk memilih syarikat pengangkutan awam yang mempunyai rekod keselamatan yang baik sebagai usaha mengurangkan risiko kemalangan.

“Syarikat pengangkutan dengan rekod keselamatan yang baik mampu menjamin keselamatan penumpang kerana pemandu telah dilatih mengikut garis panduan dan undang-undang serta menyediakan kenderaan dalam keadaan baik untuk perjalanan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top