KUALA LUMPUR – Amalan berwakaf bukan sahaja menjadi salah satu cara berkongsi rezeki, malah berperanan penting dalam membantu pembangunan ummah, khususnya dalam bidang pendidikan, kesihatan, kebajikan dan peningkatan taraf sosioekonomi masyarakat.
Mohamad Syazani Azwar Mohamad Azman, 23, graduan Pengurusan Digital Universiti Teknologi MARA (UiTM), berkata amalan berwakaf merupakan perbuatan mulia yang wajar dipupuk sejak usia muda tanpa perlu menunggu sehingga seseorang mempunyai pendapatan besar.
“Sejak awal lagi, saya diajar supaya memperuntukkan sebahagian kecil daripada pendapatan untuk berwakaf. Bagi saya, walaupun jumlahnya tidak besar, sekurang-kurangnya kita dapat menyumbang sesuatu yang bermanfaat kepada masyarakat dan pembangunan ummah,” katanya.
Menurut Syazani, budaya berwakaf perlu dijadikan sebahagian daripada kehidupan, khususnya dalam kalangan generasi muda yang baru melangkah ke alam pekerjaan.
Katanya, sumbangan kecil yang dilakukan secara konsisten berpotensi memberikan manfaat berpanjangan kepada golongan yang memerlukan.
Sementara itu, Muhammad Aizat Mohd Sukri, 23, graduan Media Baharu Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), berkata didikan keluarga sejak kecil supaya sentiasa membantu orang lain mendorongnya menjadikan wakaf sebagai salah satu amalan dalam kehidupan seharian.
“Sejak kecil, saya dididik supaya sentiasa membantu orang lain mengikut kemampuan. Melalui Wakaf MARA MADANI, saya sering memberikan sumbangan kerana percaya setiap kebaikan yang dilakukan dengan ikhlas bukan sahaja membantu mereka yang memerlukan, malah diharapkan menjadi bekalan pahala untuk saya pada masa hadapan,” katanya.
Dalam Islam, wakaf merujuk kepada amalan menahan harta atau aset dan menyalurkan manfaatnya untuk tujuan kebajikan secara berterusan.
Berbeza dengan sumbangan biasa yang lazimnya digunakan secara langsung, wakaf membolehkan aset atau dana diuruskan mengikut prinsip yang ditetapkan bagi menjana manfaat berpanjangan kepada masyarakat.
Amalan itu juga tergolong dalam sedekah jariah yang amat digalakkan dalam Islam.
Kepentingan wakaf semakin mendapat perhatian apabila statistik Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) merekodkan jumlah sumber wakaf tunai di Malaysia mencecah kira-kira RM240 juta pada 2025, meningkat 70.89 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Perkembangan itu mencerminkan potensi wakaf sebagai instrumen pembangunan sosial dan ekonomi ummah.
Dalam konteks pengurusan dana, Wakaf MARA MADANI merupakan antara platform yang boleh dipertimbangkan masyarakat. Majlis Amanah Rakyat (MARA) dilantik sebagai mutawalli oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) bagi menguruskan dana wakaf berkenaan.
Dana yang dikumpulkan diuruskan berlandaskan prinsip syariah, manakala hasil pengembangannya disasarkan untuk dimanfaatkan dalam sektor pendidikan, keusahawanan, kesihatan, kebajikan, pengangkutan dan pembangunan aset wakaf.
Struktur pentadbiran serta penerbitan penyata kewangan beraudit turut menjadi antara asas penting dalam membina keyakinan penyumbang terhadap pengurusan dana wakaf.
Sehubungan itu, orang ramai, khususnya golongan muda, diseru supaya membudayakan amalan berwakaf mengikut kemampuan masing-masing.
Melalui platform seperti Wakaf MARA MADANI, setiap sumbangan berpeluang menjadi sebahagian daripada usaha membantu masyarakat, memperkukuh kesejahteraan ummah dan memberikan manfaat berpanjangan kepada generasi akan datang.
Tidak perlu menunggu kaya untuk berwakaf kerana sumbangan kecil juga mampu membawa manfaat besar kepada masyarakat.



