Wakil 10 negara beredar ketika Presiden Israel mula berucap

Wakil 10 negara beredar ketika Presiden Israel mula berucap

BAKU: Wakil lebih 10 negara, termasuk Turkiye, meninggalkan dewan pada Khamis ketika Presiden Israel, Isaac Herzog mula berucap pada sidang kemuncak ketujuh Persidangan Interaksi dan Langkah Membina Keyakinan di Asia (CICA) di Baku, ibu negara Azerbaijan.

Wakil negara berkenaan meninggalkan dewan sekitar tengah hari ketika Herzog memulakan ucapannya pada persidangan antarabangsa itu.

Menteri Luar Turkiye, Hakan Fidan bersama anggota delegasinya dilihat bangun dari tempat duduk sebelum meninggalkan dewan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Wakil beberapa negara peserta lain turut meninggalkan dewan ketika presiden Israel itu mula berucap.

Fidan menghadiri sidang kemuncak ketujuh CICA di Baku bagi mewakili Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan.

Menteri Luar Turkiye itu disambut Presiden Azerbaijan, Ilham Aliyev sebaik tiba, menurut sumber diplomatik.

Fidan turut mengadakan pertemuan dengan Aliyev di luar sidang kemuncak itu, menurut sumber berkenaan.

Beliau turut mengadakan pertemuan dengan Menteri Luar Russia, Sergey Lavrov, di luar sidang kemuncak ketujuh CICA itu.

Sumber diplomatik mengesahkan kedua-dua menteri luar berkenaan mengadakan rundingan di Baku.

Bagaimanapun, butiran lanjut mengenai perbincangan itu belum diperoleh setakat ini. – AGENSI

 

Scroll to Top