Wan Junaidi zahirkan penghargaan buat Tun Taib

Wan Junaidi zahirkan penghargaan buat Tun Taib

am@hmetro.com.my

Kuching: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, menzahirkan penghargaan kepada Tun Abdul Taib Mahmud atas sumbangan besar beliau kepada Sarawak sejak pembentukan Malaysia pada 1963.

Wan Junaidi berkata, sebagai Bapa Sarawak Moden, sumbangan Abdul Taib terlalu besar dalam bmemastikan pembangunan holistik Sarawak sepanjang kerjaya politiknya.

Menurutnya, beliau menghargai pengorbanan Abdul Taib sejak beliau mula menyertai Kabinet Sarawak pada 1963 sehingga beliau melepaskan jawatan Ketua Menteri kepada Tan Sri Adenan Satem pada 2014.

“Dalam tempoh perkhidmatan kerajaan yang luar biasa selama 51 tahun, sama ada di peringkat Persekutuan dan kemudiannya menyandang kepimpinan tertinggi Sarawak pada 1981, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud sinonim dengan pembangunan luar biasa Sarawak.

“Beliau meletakkan batu asas yang kukuh untuk menjadikan Sarawak sebagai salah satu wilayah yang paling stabil dari segi politik dan ekonomi di Malaysia hari ini,” katanya.

Wan Junaidi Junaidi berkata demikian dalam perutusan Tahun Baharu Cina yang pertamanya selepas dilantik sebagai ketua negeri.

Wan Junaidi turut mendoakan kesejahteraan Abdul Taib dan mendoakan semoga beliau menikmati tempoh persaraan dengan aman dan memuaskan.

Abdul Taib, 87, menjadi Ketua Menteri Sarawak keempat bermula pada 1981 hingga 2014, menjadikannya sebagai Ketua Menteri paling lama berkhidmat di Malaysia iaitu selama 33 tahun.

Selepas berundur pada 2014, beliau dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri ketujuh pada tahun yang sama sehingga bersara pada 25 Januari lalu.

Abdul Taib kini dirawat di kediamannya di Demak Jaya di sini selepas keluar dari Pusat Perubatan Pakar Normah, Petra Jaya, Sabtu lalu.

© New Straits Times Press (M) Bhd