Wang pusingan modal lebih RM150,000 milik bapa lebur kerana 'scam'

Wang pusingan modal lebih RM150,000 milik bapa lebur kerana 'scam'

am@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Suri rumah kerugian RM158,498 apabila wang pusingan modal milik bapanya habis dilaburkan dalam skim pekerjaan tidak wujud.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, pada 9 Mei lalu, mangsa yang berusia 30 tahun melihat satu iklan tawaran kerja dalam talian.

Menurutnya, mangsa kemudiannya menekan pautan dan disambungkan kepada ‘admin’ tawaran kerja berkenaan melalui WhatsApp.

“Mangsa kemudian diberi penerangan bahawa tawaran kerja itu yang mana mangsa perlu menaikkan rating hotel dan akan mendapat komisen bagi setiap tugasan sebanyak 10 peratus daripada modal dilaburkan.

“Pada peringkat awal, mangsa membuat tugasan yang mana mangsa perlu menekan pautan yang diberikan serta memilih bilik hotel dan menghantar gambar tangkap layar serta membuat pembayaran ditetapkan,” katanya.

Menurutnya, pada peringkat awal, mangsa berjaya mendapatkan komisen yang dijanjikan itu.

Katanya, selepas itu, mangsa membuat tugasan kedua dan kemudian membuat pembayaran sebanyak RM158,498 secara berperingkat ke sembilan akaun bank berbeza.

Beliau berkata, namun selepas selesai, dia tidak menerima sebarang komisen seperti dijanjikan dan membuat laporan di Balai Polis Kuala Terenggan, semalam.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Azli berkata, mangsa menggunakan wang simpanan milik bapanya yang mana bapanya memasukkan wang itu untuk disimpan bagi tujuan pusingan modal perniagaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top