Wanita bongkar kecurangan suami guna data berus gigi elektrik anak

Wanita bongkar kecurangan suami guna data berus gigi elektrik anak
Seorang wanita di UK membongkar kecurangan suaminya menggunakan aplikasi berus gigi anak. Foto Agensi

Seorang wanita di UK membongkar kecurangan suaminya menggunakan aplikasi berus gigi anak. Foto Agensi

LONDON – Seorang wanita di United Kingdom berjaya membongkar kecurangan suaminya dengan bantuan aplikasi telefon pintar yang disambungkan kepada berus gigi elektrik milik anak-anak mereka.

Menurut laporan portal berita Oddity Central, kes luar biasa itu dikongsikan oleh Paul Jones, seorang penyiasat persendirian dengan lebih 10 tahun pengalaman dalam bidang pengintipan pasangan curang.

Wanita berkenaan, seorang ibu kepada dua anak, pada awalnya menggunakan aplikasi tersebut untuk memantau tabiat memberus gigi anak-anaknya.

Namun, dia mula menyedari sesuatu yang ganjil apabila data menunjukkan berus gigi itu digunakan pada waktu-waktu yang tidak masuk akal, termasuk pada pagi Jumaat ketika anak-anak berada di sekolah dan suaminya sepatutnya bekerja.

“Pada mulanya, dia tidak syak apa-apa. Tapi lama-kelamaan, dia perasan satu corak yang mencurigakan – berus itu kerap digunakan lewat pagi setiap hari Jumaat,” kata Jones.

Apabila ditanya, suaminya mendakwa beliau berada di pejabat. Namun si isteri yang curiga membuat semakan lebih lanjut dan akhirnya mendapati suaminya tidak hadir bekerja pada hari-hari tersebut selama beberapa bulan.

Rupa-rupanya, si suami menjalinkan hubungan sulit dengan rakan sekerja dan menggunakan rumah mereka sendiri sebagai lokasi pertemuan ketika ahli keluarga tiada di rumah.

Jones menjelaskan bahawa aplikasi berus gigi itu merekodkan data seperti waktu dan kadangkala lokasi penggunaan.

“Peranti ini tidak beremosi – ia cuma mencatat fakta. Bila ia mencatat seseorang memberus gigi pada 10.48 pagi, sedangkan waktu kerja bermula jam 9 pagi, itu agak sukar untuk dinafikan,” katanya.

Jones turut memberi amaran kepada pasangan yang berniat curang bahawa teknologi moden seperti pembantu maya, jam pintar dan peralatan rumah pintar kini mampu menjadi ‘saksi bisu’ yang boleh mendedahkan rahsia mereka.

“Data yang kelihatan tidak bersalah itulah yang boleh menjadi bukti paling kukuh,” katanya. – Agensi

Scroll to Top