Media Prima catat hasil RM634.5 juta

Media Prima catat hasil RM634.5 juta

Kuala Lumpur: Media Prima Berhad (Media Prima), mencatatkan hasil sebanyak RM634.5 juta, dan Keuntungan Selepas Cukai (PAT) sebanyak RM6.9 juta, bagi tempoh sembilan bulan (9MFY25) berakhir 31 Mac 2025.

Bagi suku ketiga (3QFY25) pula, Kumpulan mencatatkan hasil sebanyak RM211.6 juta dengan PAT sebanyak RM1 juta.

Keputusan Kumpulan bagi suku ini disokong oleh pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 11 peratus dalam hasil bukan pengiklanan yang membolehkan Kumpulan mengimbangi kesan keadaan pasaran yang kurang memberangsangkan terhadap hasil pengiklanan.

Prestasi ini dicapai dalam suasana persekitaran pasaran yang mencabar dan evolusi industri sepanjang tempoh tersebut.

Keputusan ini juga adalah hasil usaha Kumpulan dalam menguruskan pelbagai portfolio yang merangkumi penyiaran, penerbitan, media digital, pengiklanan luar rumah, beli-belah dari rumah dan Omnia (penyedia perkhidmatan penyelesaian media bersepadu dan kreatif).

Platform media yang mencatatkan prestasi yang menggalakkan termasuk platform beli-belah dari rumah dan audio di bawah segmen penyiaran.

Pengerusi Kumpulan Media Prima, Datuk Seri (Dr) Syed Hussian Aljunid berkata, keputusan bagi tempoh ini mencerminkan sifat dinamik industri media dan keadaan ekonomi terkini.

“Media Prima kekal teguh dalam melaksanakan pelan hala tuju strategik tiga tahunnya, yang menekankan peningkatan mutu kandungan, mempremiumkan inventori kami, dan lebih fokus dalam mengenal pasti peluang penjanaan hasil baharu.

“Inisiatif-inisiatif ini penting untuk membina ketahanan dan mewujudkan asas yang kukuh bagi pertumbuhan yang mampan.

“Komitmen kami terus kukuh untuk meningkatkan keberkesanan operasi di semua segmen ketika kami mengharungi cabaran pasaran semasa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima, Rafiq Razali berkata, Kumpulan sedang mengharungi situasi pasaran kompleks yang merangkumi perubahan ketara dalam industri pengiklanan dan tingkah laku pengguna.

“Prestasi platform Beli-Belah dari Rumah pada suku ini mencatatkan perkembangan yang memberangsangkan.

“Walaupun sesetengah platform menghadapi kekangan, terutamanya dari segi hasil pengiklanan, tumpuan kami kekal dalam menguruskan kos dan fokus melaksanakan pelan strategik perniagaan kita.

“Kami sentiasa berusaha untuk meningkatkan keberkesanan operasi kami sambil memanfaatkan cerapan data untuk memahami kecenderungan audiens dan aliran pasaran bagi memberikan nilai tambah,” katanya.

Menurutnya, Media Prima akan mengekalkan pendekatan yang berhemat untuk sepanjang baki tahun kewangan ini dan menjangkakan tekanan berterusan ke atas perbelanjaan pengiklanan disebabkan oleh ketidaktentuan ekonomi dan landskap media yang terus berubah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top