Monterrey: Afrika Selatan dan Korea Selatan meletakkan sasaran kemenangan dalam perlawanan penentu Kumpulan A Piala Dunia di Monterrey pada awal pagi Khamis, dalam aksi yang dijangka menarik kerana kedua-dua pasukan mempunyai gaya permainan hampir sama.
Hos bersama, Mexico yang akan menentang Czechia di Mexico City pada masa sama, sudah mengesahkan tempat teratas kumpulan selepas menewaskan Afrika Selatan dan Korea Selatan.
Namun peluang ke pusingan 32 masih terbuka untuk semua pasukan lain dalam kumpulan itu sama ada sebagai naib juara atau jika mengumpul mata mencukupi sebagai antara lapan pasukan tempat ketiga terbaik daripada 12 kumpulan pusingan pertama.
Korea Selatan yang mengumpul tiga mata selepas menewaskan Czechia pada hari pembukaan kejohanan berada dalam kedudukan lebih baik berbanding Afrika Selatan yang hanya mempunyai satu mata selepas terikat dengan Czechia Atlanta, Jumaat lalu.
Mengelak penyingkiran awal menjadi sasaran utama Afrika Selatan dalam kejohanan ini selepas gagal dalam beberapa penampilan sebelum ini termasuk ketika menjadi tuan rumah 16 tahun lalu namun mereka kini berada dalam tekanan selepas beberapa taktikal dipersoalkan.
Pendekatan bertahan ketika menentang Mexico dilihat bertentangan dengan gaya permainan menyerang mereka dan digabungkan dengan tekanan perlawanan, Afrika Selatan kelihatan serba tidak menjadi dalam kekalahan perlawanan pertama.
Mereka lebih baik pada separuh masa kedua menentang Czechia apabila menurunkan barisan pemain menyerang.
Pendekatan berasaskan kelajuan, menggunakan sayap serta cuba menembusi bahagian tengah adalah hampir sama dengan apa yang dijangka digunakan Korea Selatan.
Justeru, pertembungan dua pasukan menyerang ini berpotensi menghasilkan aksi menarik dalam kejohanan yang biasanya menyaksikan banyak pasukan bermain lebih bertahan.
Namun Afrika Selatan perlu beraksi tanpa tonggak tengah, Teboho Mokoena yang tidak layak beraksi selepas mengumpul kad kuning kedua dalam dua perlawanan minggu lalu, serta pemain veteran, Themba Zwane yang turut digantung selepas dibuang padang ketika menentang Mexico dan dikenakan penggantungan tiga perlawanan.
“Kami tidak boleh terlalu memikirkan pemain utama mereka yang tidak bermain kerana ia boleh membuat kami leka.
“Saya sudah menonton kedua-dua perlawanan mereka setakat ini. Mereka mempunyai kelajuan yang baik, jadi kami perlu berdisiplin ketika menentang mereka,” kata jurulatih Korea Selatan, Hong Myung-bo.
© New Straits Times Press (M) Bhd




