am@hmetro.com.my
Georgetown: Kawasan tepi laut berhampiran kondominum di Persiaran Karpal Sigh, di sini, hari ini gempar dengan penemuan seorang wanita yang terdampar dalam keadaan masih bernafas.
Wanita berusia 46 tahun itu ditemukan orang awam di kawasan berbatu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut Superintendan Lee Swee Sake berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian pada 1.48 tengah hari.
Katanya, pasukan polis di lokasi mendapati mangsa masih bernafas dan menghubungi ambulans bagi meminta bantuan.
“Didapati mangsa merupakan wanita warga Thailand yang mempunyai status pemastautin tetap (PR) dan suaminya adalah warga tempatan.
“Hasil siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah di tempat kejadian atau pada badan mangsa,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Menurut Swee Sake, mangsa kini dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP).
“Mangsa sudah sedar dan keadaan stabil namun masih tidak boleh bercakap,” katanya lagi.
© New Straits Times Press (M) Bhd

