harisfadli@hmetro.com.my
Sepang: Wanita warga asing ditahan di Balai Pelepasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, semalam, selepas dokumen palsu digunakannya gagal memperdaya pihak berkuasa.
Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) dalam kenyataan hari ini berkata, wanita warga India berusia 45 tahun itu ditahan di Terminal 1 KLIA.
“Wanita berkenaan dikesan cuba memperdaya pihak berkuasa dengan menggunakan pas khas palsu untuk keluar dari Malaysia untuk pulang ke India.
“Hasil pemeriksaan rapi mendapati dokumen yang dikemukakan tidak munasabah dan disahkan palsu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, wanita terbabit ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 56(1)(I) dan Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63.
Katanya, suspek terbabit ditempatkan di Depot Imigresen KLIA sementara siasatan lanjut dijalankan.
“AKPS menegaskan sebarang cubaan menggunakan dokumen palsu tidak akan dikompromi dan akan dikenakan tindakan undang-undang paling tegas.
“AKPS kekal komited memastikan integriti sempadan negara tidak digugat serta keselamatan pintu masuk Malaysia sentiasa berada pada tahap tertinggi,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd