Trending
Si ibu mendakwa berada di Thailand selama dua minggu sebelum terima bungkusan untuk dihantar ke Nigeria.
Penahanan seorang wanita Malaysia berusia 63 tahun di Nigeria kerana didakwa membawa 31 kilogram dadah jenis Canadian Loud kini semakin mendapat perhatian selepas PDRM mula mengesan anak kepada suspek.
Lebih menjadi persoalan, wanita itu mendakwa perjalanannya ke negara berkenaan ditaja oleh anak perempuannya sebelum dia menerima bungkusan untuk dihantar ke Nigeria.
Perjalanan didakwa ditaja anak

Memetik laporan Sinar Harian, Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini sedang mengesan anak kepada wanita berkenaan bagi membantu siasatan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan memaklumkan pihaknya telah menerima maklumat daripada Agensi Penguatkuasaan Undang-Undang Dadah Kebangsaan Nigeria (NDLEA) berhubung kes tersebut.
JSJN akan bekerjasama dengan semua agensi penguat kuasa berkaitan di negara ini bagi melengkapkan siasatan, termasuk dengan pihak berkuasa Thailand.
Menurut beliau, JSJN juga sudah memulakan siasatan bagi mengesan anak suspek yang dikatakan mempunyai kaitan dengan perjalanan wanita terbabit.
Dah dua minggu di Thailand

Berdasarkan laporan sebelum ini, wanita terbabit tiba di Nigeria dengan menaiki penerbangan Emirates dari Thailand melalui Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Difahamkan, wanita itu merupakan warga Malaysia melalui proses naturalisasi.
Siasatan awal mendapati suspek dipercayai memulakan perjalanan dari Malaysia ke Thailand sebelum meneruskan perjalanan ke Nigeria.
Dia dikatakan membawa dua bagasi besar yang mengandungi bahan terlarang tersebut. Ketika disoal siasat, wanita berkenaan mendakwa perjalanannya telah ditaja oleh anak perempuannya.
Malah, dia juga mendakwa telah berada di Thailand selama kira-kira dua minggu sebelum menerima bungkusan berkenaan untuk dihantar ke Nigeria.
Pssttt! Apa pun, siasatan lanjut amat penting bagi memastikan sama ada suspek benar-benar terlibat secara sedar atau menjadi mangsa dipergunakan oleh pihak tertentu. Orang ramai juga perlu lebih berhati-hati apabila diminta membawa bungkusan atau bagasi milik orang lain ke luar negara.
Kredit: Sinar Harian
Reaksi netizen di Facebook, X, dan Instagram.
** Selain dari Whatsapp Channel, dapatkan kemaskini Oh! Media setiap hari terus ke emel melalui langganan percuma di bawah.
Arini, Editor-In-Chief di Oh! Media, merupakan penulis sepenuh masa yang pakar dalam menghasilkan artikel berkaitan isu viral dan trending di media sosial, memastikan pembaca sentiasa mendapat maklumat yang terkini dan menarik.




