RCI: Pembayaran hibah TH dari 2014 hingga 2017 tidak selaras Akta 535

RCI: Pembayaran hibah TH dari 2014 hingga 2017 tidak selaras Akta 535

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji (TH) berpendapat pembayaran keuntungan atau hibah dari 2014 ke 2017 berpandukan nilai aset yang boleh direalisasikan (RAV) tidak selaras kehendak seksyen 22 Akta Tabung Haji (Akta 535).

Laporan RCI TH didedahkan hari ini mendapati, pengiraan RAV bukanlah pengiraan yang mematuhi standard piawaian perakaunan diakui umum.

RCI mendapati, berdasarkan penyata kewangan tahunan 2014 hingga 2017 mengenai aset dan liabiliti TH, terdapat kekurangan aset berbanding dengan liabiliti termasuk dana simpanan pendeposit untuk membolehkan hibah diberi pada 2016 dan 2017.

“Sementara agihan sebenar hibah bagi 2014 dan 2015 melebihi jumlah keuntungan sebenar dan mengakibatkan kekurangan aset berbanding dengan liabiliti termasuk dana simpanan pendeposit,” jelas laporan itu.

Laporan itu mendapati, TH dalam mengira agihan keuntungan atau hibah, tidak merujuk kepada penyata kewangan yang sudah diaudit oleh Jabatan Audit Negara (JAN).

“Sebaliknya menurut Ketua Pegawai Kewangan, Datuk Rozaida, pengiraan agihan hibah adalah berpandukan kepada seksyen 22 Akta 535. Datuk Rozaida dengan memetik seksyen 22(2) memberi pandangan kaedah asas pengiraan agihan hibah tahunan tidak dinyatakan dalam Akta 535.

“Oleh itu, menurutnya asas pengiraan agihan hibah tahunan boleh ditentukan oleh lembaga. Ini selaras dengan konsep Wadi’ah Yad Dhamanah/ Qard bahawa perjanjian atau jaminan ke atas agihan hibah adalah tertakluk kepada budi bicara lembaga.

“Dengan itu, TH sudah membuat penilaian aset-aset TH berdasarkan RAV bagi memenuhi definisi nilai aset seperti yang dikehendaki oleh seksyen 23(3)(a) Akta 535,” jelas laporan itu.

Jelas RCI lagi, TH juga melantik Tetuan Ernst & Young (EY) sebagai konsultan untuk menyediakan Laporan Proforma Kedudukan Kewangan TH berikutan teguran Bank Negara (BNM) melalui surat bertarikh 23 Disember 2015, yang antara lainnya membangkitkan tentang kemampuan LTH membayar hibah yang tinggi.

“Suruhanjaya mendapati penggunaan laporan proforma disediakan EY tidak boleh dijadikan asas untuk membayar hibah.

Malah EY sendiri dalam kenyataannya menyatakan laporan Pro Forma Financial Information bukanlah untuk dijadikan asas untuk TH membayar keuntungan (hibah),” jelas laporan itu.

Justeru itu, RCI berpendapat pembayaran hibah dari 2014 ke 2017 yang berpandukan RAV adalah tidak selaras dengan kehendak seksyen 22 Akta 535 oleh kerana pengiraan RAV bukanlah pengiraan yang mematuhi standard piawaian perakaunan yang diakui umum.

Dalam pada itu, RCI juga mendapati pandangan JAN tidak terbabit dalam pengesahan hibah kerana urusan itu terletak di bawah bidang kuasa lembaga TH sebagaimana ketetapan seksyen 22 Akta 535, tidak bertepatan dengan kehendak seksyen 22 itu sendiri.

“Suruhanjaya berpendapat JAN sewajarnya bertanggungjawab untuk menyatakan sama ada kedudukan kewangan semasa TH mempunyai keupayaan mengisytiharkan agihan hibah sebagaimana syarat diperuntukkan di bawah seksyen 22 Akta 535, seperti ditemui semasa audit.

“Suruhanjaya juga mendapati JAN menerima penyata kewangan TH dalam keadaan kesilapan mengenai pengelasan Kumpulan Wang Pendeposit sebagai dana (ekuiti) dalam penyata kewangan sejak 2010.

“Suruhanjaya mendapati pengelasan itu adalah satu representasi salah dan tidak selari dengan piawaian perakaunan tentang kedudukan sebenar aset dan liabiliti TH. Sepatutnya, Kumpulan Wang Pendeposit dikelaskan sebagai liabiliti,” jelas laporan itu.

Oleh itu, RCI mendapati akibat Kumpulan Wang Pendeposit dikelaskan sebagai ekuiti dan rosot nilai yang tidak mencukupi, maka penyata kewangan tahunan TH sudah menunjukkan aset melebihi liabiliti dan dengan itu membolehkan hibah diisytiharkan mengikut seksyen 22(3)(a) Akta 535.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top