am@hmetro.com.my
Pendang: Wanita maut apabila tercampak ke dalam sungai selepas terbabit kemalangan dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Avanza di Jalan Titi Chegar, dekat sini, hari ini.
Dalam kejadian itu, suri rumah, Nor Atikah Ahmad, 32, yang beralamat di Kampung Sawa Kecil, Mukim Padang Pusing, dekat sini meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan di kepala, tangan kiri dan betis kanan.
Timbalan Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Shamzury Saman berkata, polis menerima maklumat berhubung kemalangan jam 3 petang membabitkan sebuah Toyota Avanza dan motosikal.
Beliau berkata, siasatan awal di lokasi kejadian mendapati, kemalangan berlaku ketika Toyota Avanza dipandu lelaki warga emas berusia 61 tahun itu dari Jeneri, Sik menghala ke Kampung Guar Kepayang.
“Ketika tiba di lokasi kejadian, MPV dipercayai hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar motosikal Honda Vario 125 ditunggang wanita terbabit.
“Akibat pelanggaran itu, wanita terbabit tercampak ke dalam sungai dan diselamatkan oleh orang awam.
“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala pemandu dan lima penumpang MPV berusia antara 67 hingga 74 tahun tidak cedera,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Shamzury berkata, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk dibedah siasat.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
© New Straits Times Press (M) Bhd




