Wanita MIC terkejut, kecewa dengan kes doktor dirogol di India

Wanita MIC terkejut, kecewa dengan kes doktor dirogol di India

KUALA LUMPUR – Wanita MIC Kebangsaan melahirkan rasa terkejut, kecewa dan berduka dengan insiden tragis seorang doktor pelatih yang dirogol di Kolkata, India baru-baru ini.

Mangsa, Dr Moumita Debnath seorang doktor muda yang baharu sahaja menamatkan tugasan hakikinya  selama lebih 36 jam sebelum berehat di salah sebuah bilik di hospital itu sebelum diserang, dirogol secara beramai-ramai kemudian dibunuh.

Menurut Ketua Wanita MIC Kebangsaan, N Saraswati, bukan sahaja beliau sebaliknya seluruh dunia sedang berduka dengan insiden tersebut.

“Masyarakat dunia masih lagi terkejut. Moumita ini seorang yang wanita muda berbakat dan penuh potensi, menjadi mangsa keganasan yang sangat di India. Luar jangkaun kita bagaimana manusia boleh berkelakuan seperti ini, jauh lebih hina.

“Peristiwa rogol beramai-ramai yang meragut nyawa wanita muda ini telah menggemparkan masyarakat antarabangsa, apakah nilai-nilai kemanusian yang kita junjung selama ini mati begitu sahaja?

“Sebagai wanita, saya mengutuk perbuatan tidak berperikemanusiaan ini dan menyeru pihak berkuasa di India untuk memastikan semua pelaku dijatuhkan hukuman tanpa kompromi. Keadilan mesti ditegakkan bukan sahaja untuk keluarga mangsa, tetapi juga untuk komuniti doktor yang terjejas akibat insiden ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ketua Wanita MIC Kebangsaan merangkap Adun Kemelah, N Saraswati.

Kata Saraswati yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemelah, insiden ini juga telah memberikan satu peringatan pahit tentang perjuangan hak asasi serta perlindungan bagi golongan wanita yang masih lagi belum selesai.

“Wanita MIC akan terus berdiri teguh memperjuangkan isu-isu berkaitan keganasan terhadap wanita, bukan sahaja di Malaysia, tetapi di seluruh dunia.

“Kita sangat berharap dan merayu kepada kerajaan Malaysia khasnya untuk mengambil tindakan diplomatik yang sewajarnya, menyokong keluarga Moumita serta menekan kerajaan India agar bertindak tegas terhadap keganasan seksual,” ujarnya.

Dalam pada itu, Saraswati juga mengajak seluruh rakyat Malaysia, terutamanya kaum wanita, untuk bersatu dalam memperjuangkan hak-hak wanita dan menentang sebarang bentuk keganasan.

“Dengan kekuatan dan kesatuan, kita mampu membentuk dunia yang lebih selamat dan berperikemanusiaan untuk semua,” tegasnya.

Keputusan bedah siasat mendiang mendedahkan patah, luka pada bibir, tulang pelvis iaitu antara tulang paling kuat pada tubuh manusia patah, pendarahan dari mulut, kerosakan dan pendarahan pada kedua-dua belah mata, kecederaan pada perut dan kaki kiri, jari manis patah, dan beratus-ratus kesan gigitan dikesan pada seluruh tubuhnya.

Selain itu, juga ada penemuan 150 mililiter (ml) cecair sperma pada badannya menunjukkan kemungkinan beliau mangsa rogol berkumpulan.

Moumita sedang menjalani tahun kedua pendidikan pasca sarjananya disifatkan sebagai wanita bercita-cita tinggi dan berdedikasi dalam tugas namun peristiwa hitam dipercayai jenayah terancang yang berlaku pada 9 Ogos lalu menamatkan riwayatnya.

Kejadian ini juga berlaku di hospital tempat beliau berkhidmat iaitu Dewan Seminar R G Kar Medical College and Hospital, West Bengal, India. 

Susulan itu, seorang sukarelawan polis, Sanjay Roy dikatakan mempunyai akses ke di seluruh pusat kesihatan berkenaan menjadi suspek selepas earphone miliknya ditemui di samping jasad Moumita.

Dia juga mengakui terlibat dalam jenayah ke atas doktor wanita itu mencabar pihak berkuasa supaya menjatuhkan hukuman gantung sampai mati kepadanya. -MalaysiaGazette

Scroll to Top