Kuching: Seorang wanita berputih mata apabila kehilangan lebih RM200,000 selepas ditipu bakal suaminya yang dikenali menerusi laman sosial Okcupid.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak Superintendan Maria Rasid berkata, kes penipuan cinta itu membabitkan mangsa berusia 33 tahun yang juga penjawat awam di sebuah jabatan kerajaan di Miri.
Menurutnya, mangsa melayari laman sosial Okcupid pada 1 Jun tahun lalu dan berkenalan dengan seorang lelaki memperkenalkan diri sebagai Mason Harrison Davis dan bekerja sebagai doktor di Hospital Cardiff Wales United Kingdom.
“Suspek melamar mangsa untuk berkahwin serta mengatakan akan berpindah ke Malaysia dan mengatakan akan menghantar wang berjumlah 155,000GBP (RM828,812.16) melalui ‘Syarikat Transfast’ sebagai lamaran.
“Sejak perkenalan itu, mangsa berhubung dengan suspek satu jam setiap hari selama lebih kurang sebulan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menjelas lanjut, Maria berkata pada pada 7 Julai 2020, mangsa dihubungi oleh seorang wanita mengatakan ejen dari “Syarikat Transfast” dan mengatakan mangsa perlu membuat pembayaran RM200,000 untuk pelepasan wang dikirimkan oleh kenalannya itu.
Akibat terpedaya, beliau berkata mangsa membuat 20 transaksi pemindahan wang keseluruhan berjumlah RM203,642 ke 11 akaun bank atas nama individu tidak dikenali antara 7 Julai 2020 hingga 17 Mac 2021 atas alasan pelepasan cukai dan juga pelepasan wang dihantar itu.
Maria berkata, mangsa mula menyedari ditipu selepas suspek masih meminta mangsa membuat bayaran tambahan dan seterusnya tampil membuat laporan polis.




