Wanita warga emas maut, dua kenderaan jatuh gaung sedalam 15 meter

Wanita warga emas maut, dua kenderaan jatuh gaung sedalam 15 meter

Ipoh: Seorang wanita warga emas maut manakala dua lelaki cedera dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan, dengan dua daripadanya terbabas ke gaung sedalam 15 meter di KM314 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara dekat Tapah petang tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata, kemalangan itu melibatkan sebuah lori treler membawa muatan batu, kereta jenis Lexus dan BMW.

Beliau berkata, pihak JBPM bomba menerima panggilan kecemasan pada 2.06 petang sebelum mengejarkan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Tapah ke tempat kejadian.

“Sebaik tiba, didapati dua daripada kenderaan terlibat iaitu lori treler dan kereta Lexus telah terbabas ke dalam gaung dengan tiga mangsa di dalam kereta Lexus tersepit.

“Pemandunya, yang berusia 43 tahun dan penumpang di bahagian hadapan berusia 77 tahun mengalami kecederaan manakala mangsa yang duduk di bahagian belakang berumur 71 tahun disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan,” menurutnya dalam kenyataan.

Bagaimanapun, pemandu kereta BMW dan pemandu lori treler tidak mengalami sebarang kecederaan.

Mangsa yang cedera diberikan rawatan awal dan dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh manakala warga emas yang meninggal dunia diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top