MELAKA – Padah memasuki negara ini secara haram dan membuat laporan polis palsu kononnya disamun bulan lalu, seorang lelaki warga Bangladesh dijatuhi hukuman penjara tujuh bulan oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini hari ini.
Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh Mohamad Sufian, 52, membuat pengakuan bersalah selepas dua pertuduhan itu dibacakan jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh sebagai seorang bukan warganegara Malaysia telah masuk dan berada di negara ini tanpa sebarang pas yang sah di Jalan Kota dalam daerah Melaka Tengah sekitar pukul 3 petang 20 Mei lalu.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan denda tidak kurang dari RM10,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali serta boleh disebat sehingga enam kali mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) dan dihukum di bawah Seksyen 6 (3) akta sama.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didapati telah membuat laporan palsu kepada Koperal Aidawaty Hussin menyebabkan Inspektor Muhammad Haziq Fathe’li sebagai penjawat awam telah menggunakan kuasa yang sah di sisi undang-undang hingga mengakibatkan kegusaran kepada orang lain.
Kesalahan dilakukan pada pukul 11.39 pagi hari sama di Pejabat Pertanyaan Balai Polis Tanjung Minyak dalam daerah Melaka Tengah.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan.
Mengikut fakta kes, pengadu adalah pegawai kanan polis berpangkat inspektor bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah yang menjalankan siasatan laporan lelaki Bangladesh disamun dua lelaki Melayu tidak dikenali.
Hasil siasatan bagaimanapun mendapati, laporan berkenaan palsu dan semakan cap jari dan biometrik tertuduh di Jabatan Imigresen mendapati tiada rekod dokumen diri.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Fiqri Hakim Zamri memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada masyarakat, bagaimanapun tertuduh dalam rayuannya memohon hukuman ringan kerana hanya bekerja kilang selain mempunyai dua anak dan isteri di Bangladesh.
Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, Sharda menjatuhkan hukuman tujuh bulan penjara bagi kesalahan imigresen dan satu bulan penjara kerana membuat laporan palsu.
Hukuman diarahkan berjalan serentak dari tarikh ditangkap 20 Mei lalu. – MalaysiaGazette




