
Lokasi kejadian di bilik berkenaan. – Agensi
JAKARTA – Seorang lelaki berusia 64 tahun bertindak kejam apabila membakar bekas isterinya bersama ibu mentuanya dalam kejadian di Desa Tubanan, Kecamatan Kembang, awal pagi Jumaat lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.45 pagi waktu tempatan itu, suspek dilaporkan membawa botol berisi bahan api sebelum masuk ke dalam bilik mangsa secara senyap.
Ketika itu, bekas isterinya berusia 63 tahun sedang tidur bersama ibunya yang berumur 87 tahun.
Menurut polis, suspek kemudian menyiram bahan api ke atas badan kedua-dua mangsa sebelum menyalakan api menggunakan kayu yang dibalut kain.
Tindakan itu menyebabkan kebakaran berlaku di dalam bilik berkenaan.
Jeritan mangsa yang meminta pertolongan berjaya menarik perhatian penduduk sekitar yang segera bergegas ke lokasi dan memadamkan api sebelum keadaan menjadi lebih buruk.
Kedua-dua mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Kartini Jepara dan kini dilaporkan mengalami kecederaan melecur serius sehingga hampir 90 peratus pada tubuh badan.
Suspek berjaya ditahan oleh penduduk sebelum diserahkan kepada pihak polis.
Difahamkan, suspek turut mengalami keadaan lemah serta muntah-muntah selepas kejadian.
Siasatan awal mendapati motif kejadian dipercayai berpunca daripada rasa cemburu selepas suspek mengetahui bekas isterinya merancang untuk berkahwin semula.
Pihak polis telah membuka kertas siasatan dan sedang menjalankan siasatan lanjut, termasuk mengambil keterangan saksi serta mengumpul bukti di lokasi kejadian.
Suspek akan didakwa mengikut peruntukan undang-undang atas kesalahan menyebabkan kecederaan parah.-Agensi



