Beijing: Terluka dengan sikap anak kandungnya, seorang warga emas dari wilayah tengah China nekad mencari ‘anak perempuan’ baharu di alam siber dengan tawaran lumayan iaitu, sebuah pangsapuri serta gaji bulanan 3,000 yuan (kira-kira RM1,974).
Wanita yang dikenali sebagai Ma dari Henan bertindak demikian selepas anak sulungnya ingin memutuskan hubungan, manakala anak bongsu mengalami ketidakupayaan mental.
Ma berkongsi motif pencarian ‘anak baharu’ itu dalam program TV tempatan pada 19 November lalu, susulan kegagalan dua anak kandung melaksanakan tanggungjawab terhadapnya.
Dia kini bergelut dengan penyakit asma dan menghadapi kesukaran untuk berjalan walaupun hanya 100 meter, yang menyebabkannya memerlukan penjagaan, teman dan pengiring untuk membawanya ke janji temu perubatan.
Selain pencen bulanan, Ma bersedia menawarkan ‘anak perempuan’ baharu salah satu daripada dua pangsapuri dimiliki bersama harta benda lain, lapor media China yang dipetik SCMP.
Ma dilaporkan mempunyai simpanan tambahan sebanyak 400,000 yuan (kira-kira RM263,200) dan turut mengesahkan rancangannya untuk mewariskan sebuah lagi pangsapuri kepada anak perempuannya yang bongsu.
Menurut laporan, anak sulung Ma menjauhkan diri akibat perselisihan faham mengenai cara membesarkan cucu Ma.
Anak sulungnya juga mendakwa tidak bekerja yang menyebabkan dia tidak mampu menjaga ibunya, sambil menyatakan keputusan ibunya mencari anak baharu bukan urusannya.
Ma bercerai dengan bapa kepada anak-anaknya pada usia muda dan terputus hubungan dengan kebanyakan saudara-mara yang lain.
Mengulas isu itu, Peguam Xi Junqi dari Firma Guaman Henan Zhongdi menegaskan bahawa anak sulung Ma mempunyai tanggungjawab undang-undang untuk menyara ibunya.
Sementara itu, reaksi daripada komuniti dalam talian terhadap pencarian itu bercampur-baur. Ada yang menyatakan minat manakala yang lain membangkitkan kebimbangan termasuk keraguan sama Ma akan melayan ‘anak perempuan’ baharunya dengan baik dan sama ada ganjaran yang ditawarkan mencukupi.
Keadaan itu sekali gus menyorot isu rumah kosong (empty nesters) di China, yang manat tinjauan Kementerian Hal Ehwal Sivil yang dilakukan pada 2021 mendapati hampir 60 peratus warga emas berusia 60 tahun ke atas tinggal bersendirian.
Ia secara tidak langsung mencetuskan perkhidmatan mengupah ‘anak’ dengan bayaran antara 500 hingga 2,500 yuan (kira-kira RM329 hingga RM1,645) bagi setiap lawatan.
Tugas ‘anak’ adalah menjadi pendamping sementara, menemani ‘ibu bapa’ ke janji temu perubatan dan membantu menangani cabaran harian, seperti pertikaian dengan penjaga.
© New Straits Times Press (M) Bhd




