Warga emas lega dapat suntikan vaksin secara 'walk-in'

Warga emas lega dapat suntikan vaksin secara 'walk-in'

saadiah_ismail@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Pengumuman pemberian suntikan vaksin secara terus atau ‘walk in’ kepada warga emas berusia 60 tahun ke atas mendapat sambutan memberangsangkan selepas golongan itu menunggu sekian lama tarikh untuk divaksinasi.

Berita itu juga digambarkan seperti satu kelegaan kepada penjaga warga emas berikutan kebimbangan terhadap virus varian baharu yang berbahaya dan semakin menular kini.

Tinjauan BH di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Axiata Arena Bukit Jalil mendapati, seawal jam 8 pagi PPV dibuka, ia mula dikunjungi warga emas yang tinggal berdekatan untuk mendapatkan suntikan vaksin dos pertama.

Penjaga warga emas, Noor Halifah Rijaludin, 42, berkata sebaik mengetahui pengumuman itu semalam, beliau tanpa berlengah segera berkunjung ke PPV membawa ibunya Salmah Ibrahim, 84, mendapatkan suntikan, hari ini.

Beliau berkata, selama ini hatinya tidak tenteram dan sering memeriksa aplikasi MySejahtera untuk mengetahui tarikh suntikan ibunya itu.

“Sejak Mac lalu, saya sudah mendaftarkan ibu, tetapi masih tiada tarikh lagi, sedangkan ahli keluarga saya yang lain sudah divaksin.

“Jadi hari ini, saya mengambil peluang dan segera membawa ibu serta bersyukur semua urusan berjalan lancar dan mengambil masa 20 minit untuk selesai.

“Saya sangat gembira dan ibu juga lega kerana sudah divaksin. Saya berharap lebih ramai warga emas mengambil peluang diberikan kerajaan dan jangan berlengah lagi,” katanya ketika ditemui di PPV Axiata di sini, hari ini.

Tinjauan BH juga mendapati kebanyakan warga emas mengikut arahan dan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bagi memudahkan segala proses bermula pendaftaran sehingga tempoh pemerhatian selepas mendapatkan suntikan.

Semalam, Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin, mengumumkan warga emas iaitu individu berusia 60 tahun dan ke atas yang belum mendaftar bagi mendapatkan suntikan pelalian, boleh datang secara terus atau ‘walk in’ di mana-mana PPV di Kuala Lumpur dan Selangor.

Sementara itu, M Anantharani, 62, berkata dirinya sama seperti warga emas lain yang sentiasa menantikan tarikh untuk divaksinasi.

“Setiap hari saya memeriksa MySejahtera kerana bimbang terlepas tarikh vaksinasi, kerana semua ahli keluarga sudah mendapatkan vaksin, namun giliran saya masih tiada lagi.

“Apabila kerajaan umumkan semalam, saya berasa lega dan terus datang ke PPV awal pagi ini,” katanya yang menetap di Puchong Perdana.

Bagi Lim Kim Hwa, 60, penantiannya mendapatkan vaksinasi akhirnya tercapai selepas menunggu sekian lama.

“Sebelum ini saya sering mengemaskini MySejahtera, menelefon Meja Bantuan dan sebagainya, namun masih tiada tarikh diberikan.

“Selepas sekian lama menunggu, akhirnya dapat juga suntikan vaksin dan berterima kasih kepada kerajaan kerana memudahkan urusan ini.

“Saya berharap semua warga emas segera mendapatkan suntikan vaksin kerana virus COVID-19 sangat berbahaya dan sukar dikawal,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top