Bordeaux: Pihak berkuasa Perancis mengarahkan lebih 1,700 penumpang dan kru sebuah kapal persiaran Britain menjalani kuarantin di sini pada Rabu, selepas seorang penumpang warga emas meninggal dunia, manakala puluhan individu lain dilaporkan mengalami masalah perut.
Pegawai kesihatan menegaskan kejadian itu tidak mempunyai kaitan dengan wabak Hantavirus yang disyaki meragut nyawa tiga penumpang kapal persiaran MV Hondius di Argentina, baru-baru ini.
Kira-kira 80 individu di atas kapal Ambition itu dilaporkan mengalami simptom yang konsisten dengan jangkitan pencernaan akut.
Kapal yang membawa 1,233 penumpang yang kebanyakannya dari Britain dan Ireland bersama 514 kru itu tiba di pelabuhan barat Bordeaux, Selasa lalu.
Pihak berkuasa kesihatan mengesahkan seorang penumpang lelaki warga Britain berusia 92 tahun meninggal dunia akibat serangan jantung.
Katanya, setakat ini, tiada kaitan ditemui antara kematian itu dengan wabak gastroenteritis di atas kapal berkenaan.
Mayat mangsa dilaporkan masih berada di atas kapal selaras dengan konvensyen antarabangsa berkaitan pengendalian kes kematian di laut.
Ujian awal turut menolak penularan norovirus iaitu sejenis gastroenteritis yang sangat mudah berjangkit, namun ujian susulan masih dijalankan.
Pihak berkuasa tidak menolak kemungkinan berlakunya keracunan makanan dalam kalangan mangsa yang terjejas.
Seorang penumpang dari Belfast, Seos Guilidhe berkata, keadaan di atas kapal masih terkawal dengan garis panduan sanitasi tambahan dilaksanakan.
Katanya, semua penumpang kini menunggu keputusan ujian daripada Kerajaan Perancis bagi mengenal pasti punca sebenar kematian warga emas berkenaan.
Penumpang hanya akan dibenarkan turun di Bordeaux selepas pihak berkuasa memberikan kebenaran dan semua prosedur kesihatan selesai dilaksanakan.
Kapal berkenaan yang bertolak dari Kepulauan Shetland di utara Scotland pada 6 Mei berhenti di Belfast dan Liverpool di England sebelum sampai ke Bordeaux, dan dijadualkan berlepas ke Sepanyol.
Ia sepatutnya dijadualkan berlabuh semula di Liverpool pada 22 Mei.
© New Straits Times Press (M) Bhd




