AS kecualikan bon buat penyokong beberapa negara

AS  kecualikan bon buat penyokong beberapa negara

Washington: Pemegang tiket dari beberapa negara tidak diwajibkan membayar bon untuk menghadiri perlawanan Piala Dunia 2026 di Amerika Syarikat, menurut pengumuman wakil pentadbiran, semalam.

Warganegara dari 50 negara termasuk negara yang beraksi di Piala Dunia seperti Algeria, Cape Verde, Ivory Coast Senegal dan Tunisia sebelum ini tertakluk kepada peraturan Jabatan Negara yang memerlukan pelawat membuat deposit sebanyak AS$5,000, AS$10,000 atau AS$15,000 untuk memasuki negara itu. Deposit tersebut akan dipulangkan selepas pelawat meninggalkan Amerika Syarikat.

Penolong Setiausaha Negara bagi Hal Ehwal Konsular, Mora Namdar menghantar kenyataan kepada beberapa media yang menjelaskan pengecualian sementara ini untuk kumpulan tertentu peminat bola sepak.

“Amerika Syarikat akan mengecualikan bon visa untuk peminat yang layak yang telah membeli tiket Piala Dunia dan memilih Pas FIFA setakat 15 April 2026,” katanya kepada Al Jazeera.

Peraturan bon sebelum ini dikecualikan untuk pemain, jurulatih dan kakitangan pasukan dari lima negara yang sama.

Beberapa negara kelayakan Piala Dunia termasuk Haiti, Iran, Ivory Coast dan Senegal masih tertakluk kepada arahan pentadbiran yang melarang sebahagian warganegara mereka daripada memasuki Amerika Syarikat dalam apa jua keadaan.

Kejohanan Piala Dunia bermula 11 Jun di Mexico dengan perlawanan pertama di Amerika Syarikat pada 12 Jun di Inglewood, California. Perlawanan akhir akan berlangsung pada 19 Julai di Stadium MetLife, New Jersey.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top