Warga emas maut berlanggar dengan motosikal ditunggang kanak-kanak

Warga emas maut berlanggar dengan motosikal ditunggang kanak-kanak

am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Lelaki warga emas meninggal dunia selepas motosikal ditunggangnya berlanggar dengan motosikal ditunggang kanak-kanak berusia 12 tahun, di persimpangan Lorong Sentosa dekat Kampung Sri Aman di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, pihaknya dimaklumkan kejadian pada 9.45 pagi, dengan mangsa berusia 65 tahun dalam perjalanan pulang ke rumahnya.

“Kejadian berlaku ketika mangsa keluar dari simpang Lorong Sentosa, manakala kanak-kanak terbabit berada di jalan utama.

“Motosikal mangsa dilanggar di tepi sebelah kanan mengakibatkannya jatuh dan cedera di kepala. Dia dilapor meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail.

“Manakala kanak-kanak berkenaan mengalami kecederaan lebam di lutut kiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Ong Jin Siong di talian telefon 011-16490168 atau balai polis terdekat.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top