Soo Hyun kesal, mengaku jalin cinta dengan Sae Ron lima tahun lalu

Soo Hyun kesal, mengaku jalin cinta dengan Sae Ron lima tahun lalu

Seoul: Pelakon Kim Soo Hyun, 37, akhirnya tampil membuat kenyataan kepada khalayak berhubung kontroversi yang mengaitkannya dengan mendiang pelakon Kim Sae Ron pada sebuah sidang media, Hotel Stanford, Sangnam, Mapo-gu, di sini hari ini.

Sambil menangis teresak-esak, Soo Hyun mengakui pernah menjalin cinta dengan Sae Ron beberapa tahun yang lalu.

Bagaimanapun, dia menafikan mereka bercinta ketika Sae Ron masih di bawah umur.

“Saya dan mendiang Kim Sae Ron bercinta selama setahun, lima tahun yang lalu. Empat tahun sebelum Queen of Tears ditayangkan. Kami tidak bercinta sewaktu dia masih di bawah umur,” nafinya.

Sewaktu memulakan sidang media, pelakon Queen of Tears itu sempat memohon maaf dan tunduk dengan penuh kekesalan kepada semua yang hadir. Dia terkilan mengenang mendiang Sae Ron.

“Nampaknya ramai sekali menderita disebabkan saya. Saya mohon maaf seikhlasnya. Saya terluka memikirkan dia (Sae Ron) masih belum dapat bersemadi dengan tenang,” katanya.

Mengulas lanjut, Soo Hyun menjelaskan mereka juga seperti pasangan bercinta normal yang lain. Hubungan mereka kemudian renggang selepas berpisah dan Sae Ron temui kekasih baharu.

“Pada waktu itu, saya menafikan hubungan kami. Sudah semula jadi apabila orang mengkritik saya pasal tindakan itu, dan saya faham jika mereka tidak mempercayai apa saja yang saya cakap pasal hubungan kami.

“Kami pasangan bercinta yang normal sebagaimana orang lain. Kami sama-sama suka dan akhirnya, kami berpisah bila sudah tiba masanya. Selepas berpisah, kami jarang bercakap.

“Bahkan sewaktu dia terbabit dalam insiden memandu bawah pengaruh alkohol, tidak mudah untuk dapat hubunginya. Saya tahu dia sedang bercinta dengan seseorang ketika itu,” katanya.

Dia turut menegaskan mengenai spekulasi mengaitkan namanya jadi punca kematian Sae Ron yang didakwa meragut nyawanya sendiri.

“Tidak benar sama sekali mendiang mengambil keputusan tragis itu disebabkan saya tidak endahkan dia. Ataupun kerana agensi saya tidak membayar hutangnya,” katanya.

Sepanjang sidang media itu, Soo Hyun tidak henti mengalirkan air mata dan memaklumkan berdepan keresahan mendalam disebabkan pendedahan kisah kehidupan peribadinya di saluran-saluran YouTube.

“Saya sentiasa fikir diri ini seorang yang pengecut. Lama masa yang saya ambil sebelum berdiri di sini, hari ini. Saya kerap berfikir, mungkin saya patut bersuara saja dan tamatkan situasi penuh derita ini,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top